NEW YORK: Axiom Space bersama jenama pakaian mewah Prada memperkenalkan sut angkasa baharu untuk angkasawan yang akan menjalankan misi pendaratan di permukaan bulan menerusi program Artemis III NASA.
Menurut laman web Axiom Space, pakaian angkasa tersebut dibangunkan dengan kerjasama Prada bagi kegunaan angkasawan dalam fasa ketiga program Artemis, yang dikenali sebagai ‘projek kembali ke bulan’.
Sut angkasa ini akan diperbuat daripada bahan berwarna putih yang mampu memantulkan haba dan melindungi angkasawan daripada suhu ekstrem serta habuk bulan, menurut kenyataan syarikat tersebut.
Pakaian tersebut juga dijamin tahan selama sekurang-kurangnya dua jam di persekitaran paling sejuk di kawasan teduh, membolehkan angkasawan melakukan aktiviti di luar kapal angkasa selama kira-kira lapan jam.
Presiden Axiom Space, Matt Ondler, berkata, pasukan mereka telah mentakrif semula pembangunan sut angkasa, membuka jalan kepada penyelesaian inovatif dan menerapkan reka bentuk terkini.
Program Artemis yang diusahakan NASA bertujuan menghantar angkasawan kembali ke bulan.
Fasa pertama program Artemis I berjaya disempurnakan pada Disember 2022 apabila kapal angkasa Orion kembali ke bumi selepas mengorbit bulan.
Artemis II, yang merupakan misi pertama Orion dikendalikan anak kapal dan angkasawan dijadualkan pulang ke bumi tanpa mendarat di Bulan.
Misi selama 10 hari ini bagaimanapun telah ditangguhkan ke penghujung 2025 disebabkan isu keselamatan berkaitan kapal angkasa, sut angkasa angkasawan, serta kenderaan pendaratan.
Jika segalanya berjalan lancar, fasa terakhir program ini, iaitu misi “Artemis III,” dijangka dilancarkan pada tahun 2026. -AGENSI










