BEIRUT: Serangan tanpa henti Israel terhadap Lubnan mengakibatkan kira-kira sejuta atau satu perlima penduduk terpaksa berpindah dan berisiko kehilangan tempat tinggal.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata, gelombang serangan udara memaksa penduduk melarikan diri dari Beirut dan kawasan lain di negara itu, termasuk bahagian sempadan selatan.
Beliau berkata, kira-kira 118,000 orang yang dipindahkan sedang berlindung di 778 tempat perlindungan ditetapkan, namun menjangkakan jumlah sebenar jauh lebih tinggi.
“Sebanyak sejuta orang berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dalam tempoh beberapa hari terakhir, menjadikannya krisis perpindahan terbesar di rantau ini,” katanya.
Ketika Israel mula menyerang selatan Lubnan awal September, ia memberi amaran kepada penduduk untuk meninggalkan kawasan yang didakwa menjadi kubu simpanan senjata Hezbollah, sebelum meneruskan pengeboman di ratusan kampung di seluruh kawasan tersebut.
Awal Sabtu lalu, tentera Israel sekali lagi mengeluarkan arahan pemindahan khusus untuk sebahagian besar kawasan pinggir selatan Beirut, sama seperti arahan perpindahan paksa yang digunakan di Gaza sepanjang tahun lalu.
Situasi itu menyebabkan ribuan penduduk berpusu-pusu melarikan di ke sempadan bandar Beirut, sehingga ramai yang tidur di tepi jalan dan pantai.
Pengarah Lutheran World Relief, Ali Hijazi berkata, penduduk Lubnan yang kehilangan tempat tinggal terpaksa meninggalkan rumah mereka dalam masa yang singkat dan hanya mampu membawa sedikit barang demi menyelamatkan diri.
“Orang ramai kini hidup dalam ketakutan dan mereka benar-benar tiada hala tuju.
“Mereka sangat takut dan bimbang sama ada krisis ini akan berlarutan lebih lama. Mereka kini berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya.
RANCANGAN OPERASI DARAT
Perkembangan terkini di Lubnan mencetuskan kebimbangan sama ada negara itu turut menerima nasib sama seperti penduduk di Gaza, yang sudah berperang selama hampir setahun.
Apatah lagi, tentera Israel kini dilaporkan sudah bersiap sedia untuk menjalankan operasi darat di negara berkenaan.
Menurut penyiar awam, KAN, langkah itu sedang dipertimbangkan dengan serius, walaupun terdapat tekanan daripada Washington yang mendesak untuk gencatan senjata dilaksanakan.
Amerika Syarikat (AS) percaya satu persetujuan harus dicapai antara Israel dan Hezbollah untuk mengelakkan konfrontasi ketenteraan yang lebih besar.
Pegawai Israel mendakwa, potensi pencerobohan itu bertujuan untuk mewujudkan zon keselamatan penampan di selatan Lubnan.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu nampaknya belum membuat sebarang keputusan.
Hezbollah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempada sejak permulaan perang di Gaza, yang kini mengorbankan 41,600 rakyat Palestin.-AGENSI










