Lelaki perkosa, bunuh doktor cetus kemarahan seluruh India

Lelaki perkosa, bunuh doktor cetus kemarahan seluruh India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOLKATA: Seorang lelaki didakwa atas kesalahan merogol dan membunuh seorang doktor wanita berusia 31 tahun, kes yang menggemparkan negara dan mencetuskan protes besar-besaran di seluruh India.

Penemuan mayat doktor yang berlumuran darah di sebuah hospital kerajaan di bandar Kolkata pada 9 Ogos lalu telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara terhadap isu keganasan yang berleluasa terhadap wanita.

Suspek yang dikenali sebagai Sanjoy Roy, ditangkap sehari selepas pembunuhan tersebut didakwa pada 7 Oktober dengan bukti diserahkan kepada mahkamah secara sulit.

“Sanjoy Roy didakwa atas kesalahan merogol dan membunuh doktor pelatih yang sedang bertugas di dalam hospital,” kata seorang pegawai Biro Siasatan Pusat (CBI).

Menurut laporan media India, Roy yang berusia 33 tahun bekerja sebagai sukarelawan di hospital tersebut untuk membantu pesakit. Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman mati.

Berpuluh-puluh ribu rakyat India turut serta dalam protes tersebut, meluahkan ketidakpuashatian terhadap kurangnya langkah keselamatan bagi membolehkan doktor wanita bekerja tanpa rasa takut.

Walaupun kebanyakan petugas perubatan sudah kembali bekerja, namun sekumpulan kecil doktor kembali mengadakan mogok lapar pada bulan Oktober.

Para doktor tersebut mendakwa kerajaan negeri Bengal Barat gagal menunaikan janji mereka untuk menaik taraf lampu, kamera keselamatan dan langkah-langkah lain bagi melindungi mereka.

Mahkamah Agung India pada September mengarahkan pembentukan pasukan khas kebangsaan untuk mengkaji cara memperkukuhkan keselamatan kakitangan penjagaan kesihatan, dengan menyatakan kekejaman pembunuhan tersebut telah mengejutkan rakyat negara itu.

Serangan kejam itu turut dibandingkan dengan kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang wanita muda di dalam bas di Delhi pada tahun 2012, yang turut mencetuskan protes di seluruh negara selama beberapa minggu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN