VIENNA: Lapan anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) warga Austria di Lubnan cedera dalam serangan roket oleh Israel.
Perkara itu disahkan Menteri Luar Austria, Alexander Schallenberg melalui hantaran di platform X.
Menerusi hantaran itu, Schallenberg menyatakan rasa marah terhadap serangan tersebut yang menimpa Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).
“Keselamatan anggota pasukan pengaman perlu dijamin pada setiap masa.
“Serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan tidak boleh diterima sama sekali,” tulis beliau.
UNIFIL bertugas di kawasan antara Sungai Litani di selatan Lubnan dan Garisan Biru yang menjadi sempadan dengan Israel.
Usaha itu selaras dengan mandat di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB untuk mengekalkan keselamatan di wilayah tersebut.
Israel melancarkan kempen udara besar-besaran di Lubnan sejak bulan lalu yang disasarkan terhadap Hezbollah.
Peningkatan konflik rentas sempadan tercetus sejak setahun lalu antara Israel dan Hezbollah berikutan serangan ganas Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Israel memperluaskan konflik itu tahun ini dengan melancarkan pencerobohan ke selatan Lubnan pada 1 Oktober lalu. -AGENSI











