TBILISI: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Georgia akan melakukan pengiraan semula undi di kira-kira 14 peratus pusat pengundian selepas pilihan raya Parlimen di negara Caucasus Selatan itu dipertikaikan.
Keputusan rasmi menunjukkan parti pemerintah, Georgian Dream, meraih hampir 54 peratus undi pada Sabtu lalu.
Namun, parti pembangkang pro-Barat dan Presiden Georgia, Salome Zourabichvili mendakwa keputusan itu telah dimanipulasi.
Ribuan rakyat berhimpun membantah di ibu negara Tbilisi pada malam Isnin.
Kesatuan Eropah (EU), NATO dan Amerika Syarikat (AS) menggesa siasatan penuh berhubung laporan pembelian undi, intimidasi pengundi dan pengisian kertas undi secara haram yang dilaporkan pemantau dari Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) serta beberapa badan lain.
Suruhanjaya pilihan raya, yang sebelum ini memuji pilihan raya itu sebagai bebas dan adil, menyatakan akan menjalankan pengiraan semula di lima pusat pengundian terpilih secara rawak di setiap 84 daerah pilihan raya di Georgia.
Menurut undang-undang Georgia, pengiraan semula boleh dijalankan sehingga enam hari selepas pilihan raya, tanpa mengira sama ada terdapat dakwaan penyelewengan atau tidak.
Suruhanjaya itu tidak menyatakan bila keputusan pengiraan semula akan diumumkan.
“Bagi memastikan ketelusan, semua wakil yang sah dijemput untuk memantau proses pengiraan semula,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Keputusan rasmi menunjukkan Georgian Dream memperoleh 1.12 juta undi, iaitu lebih 335,000 undi berbanding gabungan empat parti pembangkang utama yang mengalami perpecahan dalaman. -REUTERS











