LONDON: Ketika Amerika Syarikat (AS) menantikan mesyuarat ketua kewangan global di Washington minggu ini, Presiden Russia, Vladimir Putin pula kelihatan teruja mengalu-alukan pemimpin dunia dalam sidang kemuncak BRICS di Kazan yang kini dilihat antara peristiwa paling penting dalam kalendar politik global.
Kumpulan ekonomi BRICS yang sedang pesat membangun mungkin masih jauh untuk menyaingi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau mencabar dominasi dolar AS.
Tetapi sidang kemuncak pertama dengan kumpulan baharu ahlinya menunjukkan tanda-tanda jelas pengaruhnya yang semakin meningkat.
SOKONGAN MENINGKAT
Perbincangannya yang panjang tidak cukup memperincikan mengenai usaha mewujudkan mekanisme pembayaran dan perdagangan baharu yang boleh memintas struktur dikuasai Barat termasuk sekatan yang dikenakan selepas pencerobohan Ukraine.
Tetapi sidang kemuncak itu mencatatkan beberapa siri kemenangan diplomatik.
Antaranya, kehadiran Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang turut menyatakan minat untuk menyertai kumpulan BRICS.
India dan China pula masing-masig menjadikan sidang kemuncak itu sebagai platform untuk memaparkan usaha baharu menguatkan hubungan diplomatik mereka.
Bagi Putin, fakta mudah yang ingin ditonjolkan adalah begitu ramai pemimpin pergi ke Russia untuk rundingan itu, yang jelas amat berguna dalam menentang naratif bahawa negaranya menghadapi pengasingan daripada ekonomi global.
“Mereka (ibu kota Barat) tidak mendapat apa-apa kepentingan dari perkara ini. Ini semua memberi isyarat bahawa Barat semakin kehilangan kuasanya,” kata Felo Kanan Badan Pemikir Ekonomi Bruegel, Alicia Garcia-Herrero.
Kazan mungkin tidak akan terus menduduki tempat yang sama dalam sejarah seperti Bretton Woods, bandar New Hampshire di mana 80 tahun yang lalu pemenang Perang Dunia Kedua membentuk susunan kewangan yang akan menguasai ekonomi global dan mengukuhkan ketuanan dolar.
Bagaimanapun, rundingan minggu ini menggariskan ketidakpuasan hati terhadap sistem yang dilihat kurang memberi perkhidmatan kepada kebanyakan penduduk dunia.
SAINGI BARAT
Keadaan itu diburukkan dengan kejatuhan pemindahan modal kepada ekonomi membangun sejak sedekad lalu dan negara-negara membangun kurang mewakili keputusan IMF.
“Lihat berapa ramai negara yang berebut-rebut untuk memohon menyertai BRICS. Putin berkata, lebih 30 negara sudah memohon untuk menyertai kumpulan ini.
“Ramai melihat institusi yang wujud kini tidak benar-benar mewakili mereka atau demokratik. Kita hanya melihat infrastruktur yang ditubuhkan pada 1945 dan selepas perang dunia, selain itu tiada apa-apa perubahan,” kata ahli perniagaan Sudan-Britain, Mo Ibrahim yang menjalankan sebuah yayasan menjejaki tadbir urus di Afrika.
Rekod prestasikumpulan itu berbeza-beza sejak Brazil, Russia, India dan China melancarkannya pada 2006.
Pakar Institut Vienna untuk Kajian Ekonomi Antarabangsa, Mario Holzner berkata, penubuhannya masih belum mengubah laluan pertumbuhan per kapita awal empat negara pengasas tersebut.
Ini termasuk pinjaman AS$5 bilion (RM21.7 bilion) yang dijangka dibuat oleh Bank Pembangunan Baru (NDB) BRICS tahun ini berbanding AS$72.8 billion (RM315.99 billion) yang diagihkan oleh Bank Dunia dalam bentuk kredit, pinjaman dan geran sementara projek lain masih di peringkat awal.
“Mereka mungkin boleh mewujudkan beberapa jenis sistem pemindahan wang yang sekurang-kurangnya akan berfungsi pada tahap rendah tetapi kemungkinan besar tidak akan benar-benar menjadi ‘game changer’,” kata Holzner.
Walaupun kebanyakan pemerhati meragui pakatan BRICS untuk melancarkan sistem pembayarannya sendiri akan mencabar ketuanan dolar dalam masa terdekat, inisiatif sedemikian dilihat menarik terutamanya kepada negara-negara yang bimbang dasar mereka bakal berdepan sekatan Barat.
“Ia secara geopolitik melindungi diri daripada pergeseran masa depan dengan Barat melalui penyertaan dalam struktur alternatif ini,” kata Penganalisis Kanan Firma Risikan Risiko Global Verisk Maplecroft, Hamish Kinnear
Kinnear turut menyifatkan BRICS sebagai ‘isyarat’ dan bukan punca perubahan kepada susunan dunia.
“Ia bukannya alternatif langsung kepada IMF seperti disebut sesetengah pihak, ramai ahli BRICS dan calon yang menyertai melihatnya secara oportunis sebagai kenderaan untuk melindung nilai pertaruhan dalam dunia yang menghadapi perubahan geopolitik,” katanya.-REUTERS











