BRASILIA: Mahkamah Agung Brazil mengumumkan menarik balik larangan terhadap platform media sosial X.
Dalam keputusannya, Hakim Alexandre de Moraes membenarkan pemulangan segera aktiviti X di negara itu selepas platform tersebut membayar denda dan menyekat akaun yang dituduh menyebarkan maklumat palsu.
Menurut kenyataan itu, platform berkenaan sudah membayar denda sebanyak AS$5.1 juta (RM21.85 juta) dan bersetuju untuk melantik wakil tempatan, seperti dikehendaki oleh undang-undang Brazil.
Sebelum ini, Moraes menyekat akses ke platform milik hartawan, Elon Musk tersebut selepas ia enggan mengharamkan beberapa profil yang dianggap menyebarkan maklumat palsu mengenai pilihan raya presiden Brazil 2022.
Badan pemerhati telekomunikasi Brazil, Anatel, diarahkan untuk memastikan perkhidmatan X disambung semula untuk lebih 20 juta pengguna di negara itu dalam tempoh 24 jam.
Selepas berbulan-bulan mengingkari perintah mahkamah, Musk memecat kakitangan X di Brazil pada akhir Ogos dan menutup pejabatnya di negara itu.
“Keputusan untuk menutup pejabat X di Brazil adalah sukar,” tulis Musk yang juga pemilik syarikat Tesla dan SpaceX.
Musk menyifatkan tindakan Moraes untuk mengharamkan beberapa akaun sebagai penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran kebebasan bersuara.
Beberapa hari kemudian, Moraes memerintahkan keseluruhan platform tersebut disekat di seluruh negara.
Namun, pada September lalu, platform itu mula mematuhi perintah mahkamah bagi membolehkan larangan tersebut ditarik balik.
Dalam hantaran semalam, X memaklumkan platformnya berbangga untuk kembali beroperasi di Brazil.
“Memberi akses kepada puluhan juta rakyat Brazil kepada platform kami adalah keutamaan sepanjang proses ini,” katanya.- AGENSI










