MICHIGAN: Kumpulan penyokong demokrasi Islam Amerika Syarikat (AS), Emgage Action, menyatakan sokongan terhadap calon Presiden Parti Demokrat, Kamala Harris berikutan kenyataan beliau yang mendesak gencatan senjata segera dalam konflik di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emgage Action, Wa’el Alzayat berkata, pihaknya enggan menyokong calon Parti Republikan, Donald Trump kerana bekas Presiden itu mengancam untuk mengembalikan sekatan perjalanan yang bakal menjejaskan negara-negara Islam.
Alzayat berkata, walaupun Naib Presiden itu menyatakan Israel berhak mempertahankan diri serta rakyat Palestin perlu menentukan nasib sendiri, kumpulannya mahu bersikap jujur dengan menyeru pengundi Islam menyokong Harris berbanding Trump.
Jelas beliau, berdasarkan sokongan yang diberikan komuniti Islam terhadap Harris, pemimpin itu bertanggungjawab mengalahkan Trump yang cenderung mengamalkan dasar Islamofobia.
“Kami tidak bersetuju dengan semua dasar Harris terutamanya mengenai perang di Gaza. Namun kami memberi nasihat dan keyakinan kepada ahli-ahli kami untuk mengundi Harris,” katanya dalam kenyataan seperti laporan Reuters.
Sokongan itu dibuat ketika persaingan merebut jawatan Presiden antara dua pemimpin berkenaan semakin sengit menjelang pilihan raya pada 5 November ini.
Pengundi Arab Amerika dan Islam dilihat sebagai penentu dalam keputusan di Michigan, Pennsylvania, Georgia dan beberapa negeri lain yang menjadi tumpuan.
Menurut Emgage Action yang menyokong Biden pada 2020, sebanyak sejuta ahlinya akan mengundi pada pilihan raya kali ini.
Sebelum ini, banyak kumpulan Islam termasuk Emgage Action mengkritik pentadbiran Biden kerana menyokong perang Israel di Gaza.
Walaupun Harris mendesak gencatan senjata segera dan perjanjian pembebasan tebusan di Gaza, beliau berkata, Israel berhak mempertahankan diri serta rakyat Palestin perlu menentukan nasib sendiri. – AGENSI










