Mr Beast disaman peserta rancangan realiti - Utusan Malaysia

Mr Beast disaman peserta rancangan realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NORTH CAROLINA: Personaliti Youtube terkaya dunia, Mr Beast dan Amazon berdepan saman apabila lima peserta wanita program realitinya, Beast Games, mendakwa mengalami gangguan seksual yang menyebabkan tekanan emosi sepanjang penggambaran berlangsung.

Dalam kertas pendakwaan sepanjang 54 muka surat, syarikat YouTuber itu, MrB2024 dan saluran televisyen Amazon Prime Video milik Amazon dinamakan sebagai defendan.

Selain gangguan seksual, peserta mendakwa tidak menerima gaji minimum dan berdepan bahaya kerana tidak diberi makan serta rehat yang mencukupi.

Sebahagian besar dakwaan dalam dokumen itu dirahsiakan, tetapi menyatakan Mr Beast atau nama sebenarnya, Jimmy Donaldson sebagai defendan membenarkan dan menggalakkan amalan gangguan seksual dalam  persekitaran kerja yang tidak sepatutnya.

Peguam yang mewakili mereka mengatakan, walaupun peserta menandatangani kontrak dan menyedari risiko menyertai rancangan Beast Games, situasi yang dihadapi adalah lebih teruk daripada yang disangka.

Pada bulan lalu, akhbar New York Times melaporkan, ada peserta mendakwa mereka tidak diberi makan lebih 20 jam, malah ada yang mendakwa tidak menerima ubat mereka tepat pada masanya.

BBC cuba menghubungi Mr Beast dan Amazon, tetapi gagal mendapatkan sebarang komen.

Rancangan yang diiklankan sebagai siri pertandingan realiti terbesar itu, melibatkan 1,000 peserta bersaing untuk hadiah bernilai AS$5 juta (RM21 juta).

Penggambaran Beast Games sudah selesai tetapi tarikh tayangan di Amazon Prime Video belum diumumkan. 

Beast Games akan ditayangkan di lebih 240 negara di seluruh dunia. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×