OKLAHOMA- Dua kanak-kanak kecil diselamatkan dari sebuah pangsapuri yang dipenuhi najis di Oklahoma sehingga penyiasat terpaksa memakai sut hazmat semasa menjalankan siasatan.
Menurut pihak Polis Oklahoma, mereka menerima laporan daripada jiran pada 12 September setelah melihat dua budak lelaki yang tidak berpakaian di tingkap tingkat atas, berkemungkinan dalam keadaan tertekan.
Jiran itu memberitahu News 9 keadaan menyedihkan kanak-kanak tersebut dengan najis yang terdapat di seluruh wajah, tangan, dan mulut mereka.
“Saya selalu melihat mereka di tingkap, mereka kelihatan meminta bantuan,” kata beliau.
Apabila polis tiba, mereka terkejut dengan najis dan air kencing yang menyengat di mana seorang pegawai menulis dalam afidavit mengenai bau tersebut sangat kuat sehingga membuatnya berasa loya.
Lelaki dikenali sebagai Dodd, yang membuka pintu untuk polis, kelihatan baru bangun tidur dan awalnya mendakwa dia seorang diri di rumah, sebelum mengakui dua anaknya berada di tingkat atas.
Pihak polis kemudian mendapati ada timbunan najis di tangga dan bau najis semakin kuat seiring langkah mereka menuju ke bilik tidur yang terdapat hanya seluncur plastik dan beberapa mainan, pegawai itu menemukan dua budak lelaki berusia tiga dan empat tahun.
Kanak-kanak itu kemudian muncul dari bilik seolah-olah telah menunggu untuk keluar, dengan najis kering melekat di kuku, tangan, kaki, dan wajah mereka.
Apabila pasukan penyiasat jenayah tiba, mereka terpaksa mengenakan sut hazmat akibat bau busuk yang kuat manakala Dodd mengaku telah mengunci anak-anaknya untuk lebih dari 12 jam sehari, supaya isterinya, Aubrianna Freeman, 22, dapat tidur dengan tenang.
Kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan lanjut serta diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Manusia manakala Dodd dan Freeman ditangkap dan didakwa dengan lima pertuduhan pengabaian kanak-kanak. -AGENSI










