TOKYO: Jepun buat pertama kali menghantar kapal pasukan tentera maritim melalui Selat Taiwan dalam usaha menegaskan kebebasan navigasinya, yang dijangka meningkatkan ketegangan dengan China.
Lapor NHK, kapal pemusnah MSDF Sazanami belayar melalui selat itu selepas kapal perang dari Australia dan New Zealand dilapor melakukan perjalanan di lokasi sama untuk sesi latihan di Laut China Selatan.
Ditanya mengenai transit itu, jurucakap tertinggi kerajaan enggan mengulas, tetapi mengulangi tentang krisis yang didorong oleh langkah tentera China berhampiran Jepun.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti ketenteraan China di sekitar negara telah berkembang dan menjadi lebih aktif.
“Kerajaan menghidu krisis yang kuat mengenai trend ketenteraan China, termasuk beberapa siri pencerobohan ke ruang udara dan perairan wilayah kami dalam tempoh yang singkat,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi pada sidang akhbar.
Jepun menjadi sekutu terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang menghantar kapal perang merentasi selat yang sempit tetapi strategik itu.
Britain, Kanada, Perancis, Australia, Belanda, New Zealand dan Jerman sebelum ini turut menghantar kapal perang mereka di lokai itu sebagai demonstrasi terhadap kebebasan pelayaran.
AS dan sekutunya memanggil selat itu sebagai perairan antarabangsa tetapi China, yang melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mendakwa laluan seluas 130 kilometer itu sebagai miliknya.
Minggu lalu, Beijing melayari kapal pengangkut pesawat antara dua pulau Jepun berhampiran Taiwan selepas menghantar kapal tinjauan ke perairan wilayah Jepun di luar Kagoshima, bulan lalu.










