KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 106 maut akibat hujan lebat berterusan yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di Nepal sejak awal Jumaat.
Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Dil Kumar Tamang berkata, jumlah kematian mungkin meningkat ekoran 64 orang dilaporkan masih hilang dan 60 yang lain cedera.
Beliau berkata, bencana buruk itu menyebabkan jalan raya utama ditutup dan menjejaskan perkhidmatan penerbangan domestik.
Kebanyakan kematian direkodkan di lembah Kathmandu, yang mempunyai populasi empat juta orang, di mana banjir menyebabkan lalu lintas dan aktiviti biasa terhenti.
Reuters melaporkan, pasukan penyelamat menggunakan helikopter dan bot getah untuk membantu mangsa yang terperangkap di atas bumbung serta tanah tinggi.
Hujan lebat berterusan menyebabkan kebanyakan sungai di negara Himalaya itu melimpah dan mengakibatkan banjir teruk.
Jurucakap polis, Dan Bahadur Karki berkata, pihaknya giat berusaha untuk membersihkan dan membuka semula laluan selepas tanah runtuh menghalang lebuh raya di 28 tempat.
Sementara itu, pegawai agensi cuaca di Kathmandu, Binu Maharjan menjangkakan hujan lebat berterusan sehingga Ahad.
“Hujan lebat dijangka berterusan sehingga pagi Ahad dan mungkin cuaca akan cerah selepas itu,” katanya kepada Reuters.










