LONDON: Wang kertas tertera wajah pemerintah monarki Britain, Raja Charles III, berjaya dilelong pada harga 914,127 pound Sterling (RM5.2 juta) dalam empat siri lelongan di sini, baru-baru ini.
Menurut laporan BBC, lelongan anjuran firma Spink & Son itu membabitkan wang kertas £5, £10, £20 dan £50 dengan nilai asal 78,430 pound Sterling (RM448,055), iaitu 11 kali lebih rendah berbanding harga lelongan.
Wang kertas baharu tersebut dikeluarkan Jun lalu oleh Bank of England dengan satu set daripadanya yang mempunyai nombor siri 000001 diserahkan kepada Raja Charles sebagai tanda penghormatan.
Pengumpul wang kertas berlumba-lumba mendapatkan wang dengan nombor siri tunggal untuk dijadikan koleksi.
Dalam satu lelongan, sekeping wang kertas £10, dilelong pada harga 17,000 pound Sterling (RM97,102).
Pada satu lelongan berasingan, sekumpulan 40 keping wang kertas £50 yang masih belum dipotong, dijual pada harga 26,000 pound Sterling (RM148,677), yang juga rekod tertinggi lelongan pernah dicatat Bank of England.
Pengarah Eksekutif Perbankan Bank of England Sarah John, berkata, pihaknya amat terkejut dengan nilai lelongan yang berjaya dikumpul.
Katanya, hasil lelongan tersebut akan disalurkan ke 10 pertubuhan kebajikan antaranya Badan Kebajikan Tumor Otak, Yayasan The Trussell dan The Samaritans.
Wang baharu itu dihasilkan bagi menggantikan wang kertas tertera wajah Ratu Elizabeth II yang terkoyak atau rosak, namun not lama itu masih boleh digunakan dalam urusan jual beli di seluruh negara.- AGENSI










