WASHINGTON: ABBA menjadi mangsa baharu kempen calon Presiden Parti Republikan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengambil kesempatan menggunakan lagu dan video kumpulan pop terkenal Sweden untuk tujuan politik.
Oleh demikian, syarikat rakaman mewakili kumpulan tersebut, Universal Music mengarahkan pasukan kempen Trump supaya tidak lagi menggunakan lagu serta video mereka untuk berpolitik.
“Kami bersama anggota kumpulan ABBA mendapati ada lagu dan video kami digunakan semasa kempen beliau. Kami sekeras-kerasnya melarang penggunaan harta intelek kami,” jelas syarikat rakaman itu dalam satu kenyataan semalam.
Akhbar harian Sweden, Svenska Dagbladet melaporkan, lagu-lagu popular dan video klip ABBA seperti The Winner Takes It All, Money, Money, Money dan Dancing Queen dimainkan pada kempen Trump dan calon gandingannya, JD Vance di Minnesota pada 27 Julai lalu.
Universal Music tidak pernah memberikan kebenaran kepada kempen Trump untuk menggunakan lagu dan video ABBA.
Anggota kumpulan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun menyokong tindakan syarikat rakaman mereka.
Selain ABBA sebelum ini antaranya membabitkan penyanyi seperti Taylor Swift, Celine Dion, Tom Petty, Adele dan kumpulan rock R.E.M juga menjadi mangsa kempen politik Trump setelah lagu mereka digunakan untuk tujuan kempen pilihan raya Presiden AS. – AGENSI










