ST PETERSBURG: Presiden Russia, Vladimir Putin mengugut untuk menghantar peluru berpandu konvensional dalam jarak dekat ke Amerika Syarikat (AS) dan rakan sekutu Eropahnya jika mereka membenarkan Ukraine menyerang lebih jauh ke Russia menggunakan senjata Barat.
Dalam pertemuan bersemuka pertamanya dengan editor kanan agensi berita antarabangsa sejak perang di Ukraine bermula, Putin berkata, Barat silap jika menganggap Russia tidak akan menggunakan senjata nuklear dan mendakwa doktrin nuklear Kremlin tidak boleh dipandang ringan.
Ditanya mengenai gesaan yang dibuat oleh Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg minggu lalu, Putin memberi amaran membenarkan Kyiv menyerang Russia dengan senjata yang lebih kuat adalah peningkatan serius yang menarik Barat ke arah perang dengan Moscow.
Beliau menyebut tentang tindak balas untuk menembak jatuh peluru berpandu Barat dan secara khusus menyebut ATACMS milik AS dan sistem peluru berpandu Britain serta Perancis.
Putin juga berkata, Moscow sedang mempertimbangkan menggunakan peluru berpandu berteknologi tinggi dan jarak jauh yang serupa untuk menyerang negeri-negeri yang membenarkan Ukraine menyerang wilayah Russia dengan senjata sedemikian.
“Jika kita melihat negara-negara ini sedang ditarik ke dalam peperangan menentang Persekutuan Russia, maka kita berhak untuk bertindak dengan cara yang sama. Secara umumnya, ini adalah jalan kepada masalah yang sangat serius,” katanya.
Presiden AS, Joe Biden memberi kuasa kepada Kyiv untuk melancarkan beberapa senjata yang dibekalkan negaranya ke sasaran tentera di dalam Russia.
Washington bagaimanapun masih melarang Kyiv daripada menyerang Russia dengan ATACMS, yang mempunyai jarak sehingga 300 kilometer dan senjata jarak jauh lain yang dibekalkan oleh AS.
Setiausaha Luar Britain, David Cameron semasa lawatan ke Kyiv pada 3 Mei lalu berkata, Ukraine mempunyai hak untuk menggunakan senjata yang disediakan oleh Britain untuk menyerang sasaran di dalam Russia dan terpulang kepada Kyiv sama ada untuk berbuat demikian.
Bercakap kepada wartawan selama lebih tiga jam di menara Gazprom setinggi 81 tingkat yang baru dibina menjelang Forum Tahunan Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg, Putin sempat menyentuh tentang isu pilihan raya AS.
“Tiada sesiapa di AS yang berminat dengan Ukraine. Mereka berjuang bukan untuk Ukraine dan rakyat Ukraine, tetapi untuk kehebatannya sendiri,” katanya.
Putin berkata, Russia tidak peduli siapa bakal Presiden AS seterusnya tetapi menegaskan sistem mahkamah negara itu jelas digunakan dalam pertempuran politik menentang calon Republikan, Donald Trump.-REUTERS











