BANGKOK: Video seorang lelaki menyerupai watak filem ikonik John Wick yang menjual makanan di gerai jalanan di Thailand tular dalam media sosial baru-baru ini dan mencetuskan pelbagai teori tentang karakter pembunuh upahan bergaya lakonan Keanu Reeves itu.
Beberapa hari lalu, video pendek dengan kapsyen ‘John Wick berhenti membunuh orang dan beralih menjual kopi dan sotong bakar’ tular dalam media sosial Thailand kerana wajah dan gaya lelaki itu yang dipaparkan mempunyai persamaan mengejutkan dengan watak filem aksi popular itu.
Ramai warganet bergurau kononnya dia berada dalam misi baharu di Thailand manakala yang lain berkata, pembunuh bersiri itu sudah bersara dan hanya mahu hidup tenang sebagai penjual makanan jalanan.
Lelaki misteri itu turut mendapat perhatian saluran berita utama di negara itu yang berusaha mengenal pasti identitinya sebelum seorang wanita tampil mendedahkan kembar John Wick itu adalah suaminya yang berasal dari Jerman.
Wanita yang digelar Tuk, memberitahu program televisyen Ruang Lao Sao Arthit bahawa dia menyedari persamaan suaminya dengan Keanu Reeves dan mencadangkan lelaki berambut perang itu menukar gayanya untuk kesan yang lebih hebat.
Ideanya berjaya apabila ramai yang datang untuk bergambar dengan mereka ketika bersiar-siar di sekitar Berlin dan tidak menyangka mendapat reaksi lebih mengejutkan apabila membuat perjalanan ke rumah keluarga Tuk di daerah Pak Chong di wilayah Nakhon Ratchasima.
Sembilan klip yang dikongsi oleh Tuk menunjukkan suaminya yang dikenali sebagai Andreas membuat kopi, menjual sotong bakar, mencuci pinggan mangkuk dan melawat Wat Arun di Bangkok dalam pakaian tradisional Thailand mendapat lebih 4.7 juta tontonan hingga menjadikan lelaki Jerman itu sebagai selebriti tempatan.










