Iklim ‘neraka’ dalam 12 bulan 

Cuaca paling panas dalam tempoh12 bulan 

SEORANG lelaki melintasi kedai menjual penyejuk udara di pasar Rawalpindi di Pakistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa tindakan segera dunia bagi mengelak iklim ‘neraka’ berikutan tempoh 12 bulan lalu disenaraikan sebagai cuaca paling panas dalam rekod perbandingan tahun ke tahun.

Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, purata suhu global untuk 12 bulan hingga akhir Mei lalu adalah 1.63 darjah Celsius melebihi purata pra-industri, sekali gus menjadikannya tempoh paling panas sejak penyimpanan rekod bermula pada 1940.

Dalam laporan berasingan, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) berkata, kini terdapat 80 peratus peluang bumi bakal memasuki tahun kalendar pertama dengan suhu purata melebihi 1.5 darjah Celsius di atas tahap pra-perindustrian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bercakap mengenai penemuan itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menekankan betapa cepatnya dunia menuju ke arah yang salah dan jauh daripada menstabilkan sistem iklimnya.

“Pada 2015, peluang pelanggaran sedemikian hampir sifar. Tetapi dengan masa yang semakin suntuk untuk berbalik arah, kita perlu segera mengurangkan 30 peratus pengeluaran dan penggunaan bahan api fosil global menjelang 2030.

“Kita memerlukan jalan keluar segera dari ‘neraka’ iklim. Cabaran untuk 1.5 darjah Celsius akan dimenangi atau tewas pada 2020-an,” kata Guterres dalam ucapannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

Dalam pada itu, Guterres turut menyasarkan syarikat bahan api fosil sebagai punca utama masalah tersebut.

“Bapa kepada segala kekacauan iklim adalah industri bahan api fosil yang memperoleh rekod keuntungan dan menikmati bertrilion subsidi dibiayai oleh pembayar cukai.

“Melihatkan perbandingan dengan banyak sekatan kerajaan terhadap pengiklanan bahan berbahaya seperti tembakau, saya menggesa setiap negara untuk turut mengharamkan pengiklanan daripada syarikat bahan api fosil.

“Media berita dan syarikat teknologi juga perlu berhenti menerima pengiklanan bahan api fosil,” katanya.

Pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran bahan api fosil menjadi punca utama perubahan iklim dan mencecah rekod tertinggi tahun lepas walaupun perjanjian global direka untuk membendung pelepasannya serta perkembangan pesat dalam tenaga boleh diperbaharui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN