BEIJING: Empat tutor universiti Amerika Syarikat (AS) dirawat di hospital selepas mereka ditikam oleh penyerang yang tidak dikenali di sebuah taman awam di China.
Tenaga pengajar Kolej Iowa Cornell cedera dalam kejadian serangan semasa lawatan siang hari ke taman di wilayah utara Jilin.
Wakil kolej tersebut, Adam Zabner berkata, abangnya, David, adalah salah seorang daripada empat tutor yang cedera dalam kejadian itu.
Kementerian luar China memaklumkan semua mangsa yang cedera berada dalam keadaan yang tidak mengancam nyawa.
Menurut Zabner, kumpulan itu sedang melawat kuil tempatan apabila mereka diserang oleh seorang lelaki dengan pisau.
Katanya, abangnya ditikam di lengan di Taman Beishan di bandar Jilin dan kini semakin pulih.
“Dia masih menerima rawatan pagi ini tetapi dia kini dalam keadaan baik,” katanya kepada CBS News.
Kolej Iowa Cornell berkata, keempat-empat mangsa merupakan tenaga pengajar yang menyertai program kerjasama dengan universiti di China.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian enggan memberitahu sama ada penyerang berada dalam tahanan, namun mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan
“Ini adalah insiden terpencil dan siasatan diteruskan. China secara meluas dianggap sebagai salah satu negara paling selamat di dunia dan kami akan terus mengambil langkah yang relevan untuk memastikan warga asing selamat berada di negara ini.
“Kami percaya kes ini tidak akan merosakkan hubungan dengan negara lain,” katanya.
Jurucakap Jabatan Negara AS sebelum ini memberitahu BBC, mereka mengetahui laporan mengenai insiden tikaman di Jilin, tetapi tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
Imej tular menunjukkan sekurang-kurangnya tiga orang berlumuran darah terbaring di taman berkenaan tetapi video dan muat naik tentang kejadian itu segera ditapis internet China.
Sejak pagi tadi carian seperti ‘orang asing Jilin’ tidak membuahkan hasil walaupun istilah itu menjadi sohor kini di Weibo.










