MANILA: Tentera Filipina berkata bot China secara haram merampas makanan dan ubat-ubatan yang diterbangkan ke sebuah pos Filipina di Laut China Selatan.
Insiden tersebut didakwa berlaku pada 19 Mei lalu di Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, di mana tentera Filipina berkawal di atas kapal tentera laut untuk menegaskan tuntutan Manila ke atas perairan itu.
Tentera Filipina menuduh China melakukan campur tangan yang agresif tanpa provokasi apabila dua bot China dikatakan datang dalam jarak 10 meter dari kapal Sierra Madre dan merampas satu bungkusan yang dijatuhkan untuk tentera Filipina.
Menurut tentera, ia adalah kali pertama bekalan mereka dirampas.
“Tindakan mendapatkan atau merampas bekalan kami ini adalah menyalahi undang-undang. Anda tidak sepatutnya merampas bekalan negara lain, walaupun dalam peperangan,” kata Ketua Tentera, Jeneral Romeo Brawner kepada pemberita.
Jurucakap Tentera Laut Filipina, Roy Vincent Trinidad berkata, kakitangan China di atas bot kemudian membuang barang-barang itu ke dalam air.
Namun tidak jelas sama ada bot itu adalah milik pengawal pantai atau tentera laut China.
Jelasnya, tentera Filipina kemudian berjaya mendapatkan semula kebanyakan barang yang dijatuhkan pada hari tersebut.
Misi pembekalan semula Filipina biasanya melalui laut, tetapi Brawner berkata, bulan lalu mereka melakukan jatuhan udara untuk mengelakkan rintangan dan gangguan.
Brawner menafikan laporan bahawa tentera Filipina di atas Sierra Madre mengacukan senjata mereka ke arah bot China tersebut.-AFP










