Bantuan Ops Ihsan tersekat di sempadan Gaza

Bantuan Ops Ihsan tersekat di sempadan Gaza

SEBUAH trak yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza melintasi sempadan Kerem Shalom (Karm Abu Salem) antara selatan Israel dan Gaza, pada 30 Mei lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi menghantar bantuan makanan oleh Sekretariat Induk Ops Ihsan masih terhalang di sempadan Gaza ekoran serangan tentera Israel di Rafah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, setakat ini Ops Ihsan telah menyalurkan bantuan kepada rakyat di Gaza namun belum ada yang melepasi sempadan.

“Setakat ini Ops Ihsan telah menyalurkan 46,000 kotak makanan seberat 600 tan, namun sejak sekatan oleh Israel di Rafah, belum ada bantuan melepasi sempadan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, bantuan akan disalurkan melalui lintasan Karem Shalom dan sebanyak 100 lori bantuan telah melepasi lintasan tersebut.

Jismi yang juga Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berkata, pada masa kini rakyat Palestin telah berkali-kali berpindah ekoran serangan tidak berhenti oleh tentera Israel.

“Sejak serangan ke atas Rafah, ramai yang berpindah keluar ke kawasan seperti Deir al Balah, namun ramai yang kecewa dan keliru ke mana lagi perlu mereka berpindah,” jelasnya.

Menurut Jismi, usaha inisiatif penyediaan makanan bermasak melalui Dapur Ihsan untuk rakyat Palestin di Deir Al Balah berjalan seperti biasa, dengan sumbangan orang ramai melalui Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), MyFund Action, dan Friends of Palestine.

“Namun dengan kehadiran pelarian dari Rafah, maka terdapat penambahan permintaan dan Ops Ihsan telah memohon dana untuk Dapur Ihsan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) untuk menampung keperluan tersebut,” katanya.

Kata beliau, pada masa ini Dapur Ihsan masih berusaha untuk menyediakan 3,000 hidangan sehari untuk petugas dan pesakit di Hospital Martyrs Al Aqsa serta pelarian di sekitar kawasan.

Sementara itu, warga Malaysia yang pernah terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, keadaan di sana kian memburuk dengan bekalan air sukar didapati.

“Abang ipar saya pernah juga ingin memberi bantuan air bersih malangnya di pertengahan jalan tayar lori pecah, keadaan ini sangat teruk,” katanya.

Katanya, jalan di Khan Younis telah dimusnahkan menjadikan lori-lori yang membawa bekalan air bersih sukar menghantar bantuan air kepada rakyat palestin.

Tambahnya, kes kebuluran di Gaza juga meningkat ekoran bekalan bantuan makanan yang kurang.

“Semalam seorang kanak di bandar Deir Al Balah telah syahid kerana kelaparan yang melampau,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Ain berkata, beberapa hari sebelum sempadan Rafah ditutup, terdapat beberapa bantuan disalurkan akan tetapi masih tidak mencukupi.

“Bantuan ada masuk beberapa hari selapas sempadan Rafah di tutup, 35 trak akan tetapi hanya untuk komersial melalui Karem Abu Salem.

“Seminggu lepas ada juga trak bantuan masuk dari tempat yang sama tapi saya tidak pasti berapa banyak, yang saya pasti sangat tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, dia bersama rakannya yang juga merupakan warga Malaysia, Nour Nordin yang juga berkahwin dengan rakyat Gaza masih lagi menyampaikan bantuan dari segi tunai ke sana daripada dana orang ramai.

Tambahnya,permintaan khemah masih berterusan akan tetapi mereka boleh mendapatkan bekalan khemah di Rafah.

“Mereka kehabisan khemah akan tetapi masih boleh mendapatkan khemah di Rafah namun dengan harga yang tidak masuk akal.

“Khemah yang hanya boleh muat enam hingga tujuh orang berharga 5000 shekel dan di Deir Al Balah serta Khan Younis masih ramai lagi yang mencari, malangnya memang masih kekurangan tetapi tumpuan saya dan kak Nour adalah makanan dan air bersih buat masa sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN