SINGAPURA: Seorang pempengaruh Singapura mendapat perhatian di media sosial selepas mengumumkan menjadi seorang nenek pada usia 34 tahun.
Menurut South China Morning Post, Shirli Ling, 35, menyambut cucu pertamanya tahun lalu apabila anak lelakinya berusia 17 tahun bergelar bapa.
Wanita yang mengusahakan restoran hotpot ayam itu berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai lima anak dengan cahaya mata sulung lelakinya itu dilahirkan ketika dia berusia 17 tahun.
Dalam video Instagram yang disiarkan pada Mac lalu, Ling menceritakan pengalamannya menjadi seorang nenek pada usia yang begitu muda, menggambarkan situasi itu mempunyai banyak kebaikan dan keburukan.
Dia mengakui tidak panik apabila teman wanita anak sulungnya hamil tahun lalu, sambil bergurau bahawa anaknya mengambil inspirasi daripada dirinya yang menjadi ibu pada usia sama.
Dalam video lain, Ling menegaskan tidak menggalakkan anak-anaknya untuk mempunyai anak di usia muda kerana kesukaran yang pernah dihadapinya namun akan terus memberi nasihat dan sokongan daripada memarahi mereka.
”Memandangkan ia sudah berlaku, saya hanya boleh mengajar mereka cara menghadapinya, cara membuat keputusan dan bagaimana untuk bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka.
“Apabila mereka memerlukan bantuan, ibu bapa perlu berada di sana untuk terus mendidik, menyokong dan mengajar mereka. Sentiasa ada untuk anak-anak anda, tidak kira apa yang berlaku,” tambahnya.
Ling, yang mempunyai lebih 20,000 pengikut di Instagram dan menjadi terkenal selepas membintangi filem komedi tentera Singapura Ah Girls Go Army pada 2022.










