NEW YORK: Kegilaan memeluk dan membelai lembu oleh warga Amerika Syarikat (AS) sebagai aktiviti rekreasi kini terencat berikutan penyebaran wabak selesema burung yang turut menjangkiti haiwan itu.
Trend baharu yang semakin tular dalam media sosial itu melibatkan pengunjung membayar untuk duduk dan membelai sekumpulan lembu di kandang sambil membantu peladang kecil menampung kos makanan haiwan tersebut.
Lapor Sky News, ramai pengunjung menganggap aktiviti itu sebagai terapi baharu untuk menghilangkan tekanan.
Bagaimanapun, aktiviti tersebut berisiko selepas selesema burung disahkan dalam kalangan kumpulan lembu tenusu di sembilan negeri di AS.
Para saintis percaya virus itu sebenarnya mungkin boleh merebak lebih meluas di seluruh 26,000 ladang tenusu berlesen di negara ini.
Di Texas, seorang pekerja tenusu diuji positif virus itu tetapi risiko jangkitan manusia kekal rendah.
Namun bagi mengelakkan risiko penularan berterusan, pegawai kerajaan menggesa penternak lembu daging dan tenusu untuk mengehadkan pelawat luar.
Langkah sanitasi baharu dan had akses turut diperkenalkan di Michigan.
“Walaupun perintah tindak balas kecemasan tidak secara total melarang peluk lembu, kami tidak mengesyorkannya.
“Dari sudut kesihatan manusia dan haiwan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memeluk dan bermain dengan lembu,” kata Pengarah Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Michigan, Tim Boring.










