SRINAGAR: Pilihan raya enam selama minggu India disambung semula termasuk di Kashmir, di mana pengundi dijangka menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perubahan dramatik di wilayah yang dipertikaikan di bawah kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Modi kekal popular di seluruh India dan parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan beliau dijangka menang apabila sesi undian berakhir awal bulan depan.
Tetapi keputusan tergesa-gesa kerajaannya pada 2019 untuk membawa Kashmir di bawah pemerintahan langsung New Delhi dan sekatan keselamatan drastik yang mengiringinya ditentang penduduk yang akan mengundi buat kali pertama sejak langkah itu.
“Apa yang kami beritahu pengundi sekarang ialah anda perlu membuat suara anda didengari.
“Sudut pandangan yang kami mahu orang ramai tunjukkan ialah apa yang berlaku tidak boleh diterima oleh mereka,” kata bekas Ketua Menteri Kashmir, Omar Abdullah.
Kumpulan yang menentang pemerintahan India melancarkan pemberontakan sejak 1989 di sebelah sempadan yang dikawal oleh New Delhi, menuntut sama ada kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.
Konflik itu sudah mengorbankan puluhan ribu tentera dan orang awam dalam beberapa dekad lalu termasuk beberapa insiden pertempuran antara suspek pemberontak dan pasukan keselamatan bulan lalu.
Keganasan berkurangan sejak bahagian wilayah India diletakkan di bawah pemerintahan langsung lima tahun lalu, langkah yang menyaksikan penahanan besar-besaran pemimpin politik tempatan dan telekomunikasi terputus selama berbulan-bulan untuk menghalang sebarang protes.
Kerajaan Modi berkata, pembatalan status istimewa Kashmir membawa keamanan serta pembangunan dan secara konsisten mendakwa langkah itu disokong oleh penduduknya.
Tetapi partinya tidak meletakkan sebarang calon di lembah Kashmir buat kali pertama sejak 1996, dan pakar menjangkakan BJP akan dikalahkan dalam apa jua keadaan.
BJP merayu kepada pengundi untuk memilih parti lebih kecil dan baru diwujudkan yang secara terbuka sejajar dengan dasar Modi tetapi pengundi dijangka menyokong satu daripada dua parti politik Kashmir yang menggesa perubahan dalam kerajaan pimpinan beliau.-AFP










