LONDON: Kisah seorang bapa yang memaksa anaknya membayar balik wang pinjaman yang pernah diberikan demi untuk memberi pengajaran kepada remaja itu mendapat perhatian warganet baru-baru ini.
Menerusi laman Reddit, bapa itu meminta pendapat warganet tentang tindakannya mengarahkan anaknya menandatangani kontrak ketika remaja itu meminta sejumlah wang untuk membuat pelaburan yang kemudian nyata tidak membawa sebarang pulangan.
Lelaki itu mengakui meminta anaknya bertanggungjawab dengan membayar balik pinjaman tersebut menggunakan dana universitinya apabila perkara tidak berjalan seperti yang dirancang, membuatkan remaja itu dan ibunya berang.
Bagaimanapun, bapa itu tetap berpegang kepada prinsipnya kerana dia mahu anaknya sedar bahawa wang tidak percuma dan bertanya kepada warganet di ruang forum sama ada dia salah kerana cuba mengajar anaknya pelajaran hidup pada usia muda.
“Anak saya datang kepada saya dengan pelaburan yang terbukti tidak akan menjadi. Saya memberitahunya ia bukan idea yang bagus. Tetapi dia tetap mahukannya.
“Saya memberitahunya bahawa saya akan meminjamkan wang itu kepadanya tetapi jika pelaburannya tidak membuahkan hasil maka dia perlu membayar balik kepada saya daripada tabung pendidikannya.
“Saya fikir ia selamat kerana dia tidak boleh mendapatkan wang itu melainkan dia menyambung pelajaran. Kami menulis kontrak untuk pinjaman termasuk faedah nominal,” katanya.
Ramai pengguna laman tersebut menyokong tindakan lelaki itu dan ada yang memberi komen mengatakan anaknya itu hanya marah kerana tidak mendapat wang percuma.
“Jika anda menjamin anak-anak anda dari segi kewangan setiap kali mereka berdepan masalah, mereka tidak akan belajar apa-apa dan akan terus gagal sepanjang hayat dewasa mereka.
“Jadi anda melakukan kebaikan kepada anak anda dan dia pasti akan berfikir dengan lebih teliti untuk setiap wang yang dibelanjakan,” tulis seorang warganet.










