LONDON: Sebuah syarikat air terbesar di Britain berkata, barangan paling luar biasa yang ditemukan dalam saluran pembetungan di negara itu termasuk figura aksi Dora the Explorer dan anak patung Ken.
Severn Trent, yang menyediakan perkhidmatan air ke wilayah Midlands, Bristol, pinggir Sheffield dan utara Wales baru-baru ini mengeluarkan senarai barang paling aneh dan lucu yang masuk ke dalam pembentung.
Mainan termasuk figura aksi Dora dan anak patung Ken mendahului senarai tersebut, diikuti oleh kepingan bangsal taman, gigi palsu, seluar dalam, bingkai katil yang patah dan sepasang cermin mata.
Ketua Penyumbatan Pembentung Severn Trent, Grant Mitchell berkata, barangan aneh lain yang pernah ditemukan dalam sistem kumbahan termasuk dompet, kunci, kutleri dan tayar kereta.
“Sesiapa boleh meneka bagaimana beberapa barang yang besar ini boleh berada di dalam pembentung, tetapi ia jelas menjadikan kerja itu cukup menghiburkan untuk semua orang.
“Walaupun ada kalanya kita melihat barangan seperti ini, perkara yang paling banyak kami lihat menyebabkan penyumbatan ialah kain lap basah, lampin dan produk sanitari.
“Justeru kami menggesa semua orang untuk mengingati bahawa hanya tiga perkara yang boleh ada di dalam tandas iaitu air kencing, najis dan tisu. Barang lain sila letakkan di dalam tong sampah,” katanya.










