MODHERA: Lebih 6,500 penduduk yang tinggal di perkampungan tenaga solar pertama di India kini bergantung kepada cahaya matahari untuk bekalan tenaga elektrik.
Kediaman mereka kini dipasang panel atas bumbung dan loji solar yang menyediakan kuasa sepanjang masa kepada mereka.
Sumber elektrik itu disediakan secara percuma di bawah projek bersama antara kerajaan pusat dan negeri di perkampungan Modhera di Gujarat.
Walaupun beberapa masalah timbul seperti lampu rosak oleh sistem baharu yang mungkin disebabkan oleh isu voltan, penduduk memberitahu CNA bahawa kuasa solar tersebut meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Sebelum ini, terdapat kekurangan bekalan elektrik. Ia sangat panas pada musim gelombang haba dan orang ramai tidak boleh menggunakan kipas.
“Kini, elektrik tersedia secara percuma 24 jam sehari dan orang ramai boleh menggunakan kipas dan menikmati air sejuk dari peti ais,” kata penduduk Bipin Patel.
Modhera di negeri barat Gujarat dipilih untuk menjadi kampung berkuasa solar pertama di negara itu kerana menempatkan sebuah kuil matahari Hindu yang terkenal sejak abad ke-11.
Projek solar kampung itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan India untuk menjana separuh tenaga elektriknya daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.
Perdana Menteri, Narendra Modi juga berikrar negara paling ramai penduduk di dunia itu akan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2070.
Modi kini berusaha mengekalkan penggal ketiga pentadbirannya dengan janji kempen pilihan rayanya ke arah menjadi ‘bebas tenaga’ dalam beberapa dekad akan datang.
Menurut angka rasmi, India berjaya menggandakan kapasiti tenaga hijaunya kepada 188 gigawatt daripada hanya lebih 80 sedekad lalu, ketika Modi mula memegang kuasa.
Namun, negara itu belum mencapai separuh daripada sasaran 500 gigawatt menjelang 2030.
Penganalisis berkata, matlamat tersebut mampu dicapai tetapi faktor termasuk kos modal perlu ditangani untuk menjadikan sektor itu lebih menarik kepada pelabur.










