AS boikot penghormatan UN kepada Ebrahim

AS boikot acara penghormatan PBB kepada Ebrahim

RAKYAT Iran menghadiri pengebumian Ebrahim Raisi di Tehran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON:  Amerika Syarikat (AS) memboikot penghormatan diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terbunuh awal bulan ini dalam nahas helikopter, lapor seorang pegawai.

Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang dianggotai 193 negara secara tradisinya bermesyuarat untuk memberi penghormatan kepada mana-mana pemimpin dunia berikutan kematian mereka dan akan menampilkan ucapan tentang Ebrahim.

“Kami tidak akan menghadiri acara ini dalam sebarang kapasiti. PBB harus berdiri bersama rakyat Iran, bukan mengenang penindas mereka selama berdekad-dekad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ebrahim terlibat dalam pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang mengerikan, termasuk pembunuhan di luar hukum terhadap beribu-ribu tahanan politik pada tahun 1988.

“Beberapa pencabulan hak asasi manusia yang paling teruk dalam rekod, terutamanya terhadap wanita dan gadis Iran berlaku semasa beliau memegang jawatan,” kata pegawai itu.

Boikot yang dilakukan AS tidak pernah dilaporkan sebelum ini dan misi Iran ke PBB di New York enggan mengulas mengenai perkara itu.

Ebrahim yang dilihat sebagai bakal pengganti Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh apabila helikopternya terhempas dalam cuaca buruk di pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan pada 19 Mei lalu.

Anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berdiri pada permulaan mesyuarat yang tidak berkaitan dan senyap seketika pada 20 Mei bagi mengingati mangsa nahas helikopter tersebut namun Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood dilihat enggan berbuat demikian bersama 14 rakan sejawatannya.

AS menyatakan ucapan takziah rasmi atas kematian Ebrahim pada 20 Mei lalu namun Jurucakap Keselamatan Negara White House, John Kirby mendakwa beliau adalah seorang lelaki yang mempunyai banyak darah di tangannya. 

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden dikecam hebat oleh beberapa anggota Kongres Republikan kerana mengucapkan takziah kepada Iran.

Ebrahim, 63, dipilih sebagai Presiden Iran pada 2021 dan bertanggungjawab memerintahkan untuk mengetatkan undang-undang moral, mengawasi tindakan terhadap protes anti-kerajaan dan mendesak rundingan nuklear dengan kuasa dunia.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini