Zelenskyy rayu peluru berpandu untuk Ukraine

Zelenskyy rayu peluru berpandu untuk Ukraine

VOLODYMYR ZELENSKYY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberi amaran negaranya bakal kehabisan peluru berpandu pertahanan udara jika Russia meneruskan kempen pengeboman jarak jauh yang dilaporkan semakin bertambah sengit kini.

Amaran paling tegas pemimpin Ukraine itu dibuat berikutan serangan bertubi-tubi Russia  menggunakan senjata peluru berpandu dan dron yang meluas ke atas sistem tenaga, bandar dan kawasan perkampungan negara itu sejak beberapa minggu lalu.

“Jika mereka terus membedil Ukraine setiap hari seperti yang mereka lakukan selama sebulan lepas, kami mungkin kehabisan peluru berpandu dan rakan kongsi mengetahuinya,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen Ukraine.

Zelenskyy, yang merayu bantuan segara dari negara sekutu berkata, Ukraine masih mempunyai simpanan mencukupi untuk mengatasi serangan itu buat masa ini, tetapi perlu membuat pilihan sukar tentang apa yang perlu dilindungi.

Beliau menyatakan secara khusus keperluan untuk sistem pertahanan udara Patriot dan menegaskan Ukraine memerlukan 25 unit senjata tersebut.

Sistem pertahanan udara Amerika Syarikat (AS) yang canggih sangat penting semasa serangan Russia dengan peluru berpandu balistik dan hipersonik boleh mengenai sasaran dalam masa beberapa minit.

Kenyataannya itu dibuat susulan dua serangan peluru berpandu dan dron Russia kelmarin yang membunuh lapan orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 lagi di timur laut Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.

Di wilayah timur Donetsk, tembakan artileri membunuh empat orang di kampung Kurakhivka termasuk seorang wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia 16 tahun, bersama seorang lelaki berusia 25 tahun di kampung Krasnohorivka.

Syarikat kuasa swasta terbesar di Ukraine, DTEK berkata, serangan berkenaan merosakkan lebih 80 peratus kapasiti penjanaannya hingga mereka terpaksa menutup sistem secara bergilir bagi menstabilkan bekalan elektrik di negara itu.

Momentum medan perang menentang Ukraine bertambah buruk kebelakangan ini apabila Kyiv bergelut dengan kelembapan penghantaran bantuan ketenteraan dari Barat, khususnya AS.

Zelenskyy, berkata beliau masih percaya pakej bantuan besar akan diluluskan oleh Kongres AS walaupun tersekat dalam perbincangan sejak akhir tahun lalu akibat penentangan ahli Republikan. 

“Saya masih percaya bahawa kita boleh mendapat undian positif dalam Kongres AS,” katanya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya