CALIFORNIA: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) akan meluncurkan tiga roket Atmospheric Perturbations around Eclipse Path (APEP) ketika gerhana matahari lengkap 8 April ini.
Blog rasmi NASA menjelaskan roket APEP akan diluncurkan dari Fasiliti Penerbangan Wallops di Virginia.
Misi roket itu bertujuan mengkaji kesan cahaya matahari yang memalapkan ke atas atmosfera atau ionosfera bumi.
Roket APEP akan berlepas pada tiga waktu berbeza, iaitu sekitar 45 minit sebelum gerhana, ketika gerhana terjadi, dan 45 minit selepas puncak gerhana tempatan.
Perbezaan waktu tersebut penting untuk diperhatikan agar data yang dikumpulkan beragam dan pelbagai.
NASA menjelaskan roket APEP akan mencapai ketinggian 420 kilometer (km) dari atas permukaan bumi.
Setiap roket akan mengukur ketumpatan zarah bercas dan neutral daripada medan elektrik dan magnet di atmosfera.
Walaupun hanya tiga roket diluncurkan, Ketua Misi Roket APEP, Aroh Barjatya berkata, instrumen roket itu akan menghasilkan banyak data kerana setiap roket mempunyai lebih dua instrumen.
“Setiap roket akan mengeluarkan empat instrumen sekunder berukuran botol soda dua liter yang juga mengukur titik data sama mirip dengan hasil 15 roket, sedangkan hanya tiga roket sahaja dilancarkan,” ujarnya.
Semasa instrumen berada di atmosfera, penyelidik akan memerhatikan gangguan komunikasi radio akibat gerhana matahari penuh.
Jelas Aroh, sehingga kini, pemahaman tentang gangguan komunikasi akibat gerhana masih rendah, menyebabkan misi roket APEP amat diperlukan.-AGENSI










