TOKYO: Sebuah syarikat farmaseutikal Jepun menarik balik suplemen kesihatan mengandungi beras yis merah dipanggil ‘beni-koji’ berikutan laporan kes kematian melibatkan penggunanya.
Kobayashi Pharmaceutical berkata, syarikat itu membekalkan ramuan tersebut kepada firma lain di seluruh dunia namun mengeluarkan penarikan balik secara sukarela untuk tiga jenis suplemen yang mengandungi beni-koji sejak minggu lalu.
Lapor NHK News, langkah itu dibuat selepas berlaku satu kes kematian akibat masalah buah pinggang yang dikaitkan dengan suplemen kesihatan tersebut.
Seramai 26 orang turut dimasukkan ke hospital kerana mengalami kerosakan buah pinggang dan masalah kesihatan lain selepas mengambil produk tersebut.
Produk itu diiklankan sebagai suplemen berkesan dalam menurunkan kolesterol jahat tetapi didapati mengandungi bahan-bahan yang tidak dijangka.
Pengeluar ubat yang berpangkalan di Osaka itu mengeluarkan 18.5 tan beni-koji setiap tahun, dengan 80 peratus dibekalkan kepada kira-kira 50 syarikat makanan dan minuman.
Pembuat minuman utama Takara Shuzo turut dilaporkan menarik balik produk sake Mio Premium Rose sementara premis dalam talian Zero Plus menghentikan penjualan keropok keju yang mengandungi beras yis merah itu.
Kobayashi Pharmaceutical membuat permohonan maaf dan meminta orang ramai untuk berhenti menggunakan produk yang mengandungi beni-koji sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan.










