MOSCOW: Russia mendakwa pasukan tenteranya berjaya memusnahkan 47 dron Ukraine di wilayah selatan semalaman, yang kebanyakannya di kawasan Rostov bersempadan dengan Ukraine.
Kyiv kerap melancarkan dron ke Russia semasa operasi ketenteraan Moscow di Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga.
“Sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan beberapa dron di wilayah Belgorod (satu dron), wilayah Kursk (dua dron), wilayah Volgograd (tiga dron) dan wilayah Rostov (41 dron),” jelas tentera Russia di media sosial.
Dilaporkan, wilayah Rostov selatan merupakan hab tentera Russia untuk merancang operasi ketenteraannya di Ukraine.
Sementara itu, Gabenor Rostov, Vasily Golubev di media sosial mengesahkan serangan dron melanda bandar Taganrog di Laut Azov berhampiran bahagian diduduki Russia di Ukraine.
Katanya, seorang pekerja penyelamat cedera namun tiada laporan kematian.
Gabenor wilayah Kursk, Roman Starovoyt berkata, sebuah klinik yang terletak di bandar utama Kursk mengalami kerosakan akibat serangan itu. – AFP










