TEL AVIV: Ribuan penunjuk perasaan Israel berhimpun di Tel Aviv bagi mendesak Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meletak jawatan selepas gagal membawa pulang tebusan walaupun melancarkan serangan berterusan lebih lima bulan di Gaza.
PENDUDUK PROTES
Suasana turut tegang apabila penunjuk perasaan yang menghadiri demonstrasi itu melaungkan gesaan supaya pilihan raya diadakan secepat mungkin dan usaha pembebasan tebusan dilakukan segera.
Mereka berkumpul sambil memakai baju-T dan membawa sepanduk memaparkan nama serta gambar tebusan yang ditahan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menggesa tindakan segera bagi menyelamatkan mereka.
Sesetengah penunjuk perasaan meminta gencatan senjata dibuat segera, namun pendirian itu ditolak kerajaan Netanyahu sehingga kini dengan alasan ia akan memberi kemenangan kepada Hamas.
“Ya, kita perlu gencatan senjata. Kita tidak mempunyai sebarang pilihan lain pun. Lagi pun tidak ada rancangan politik yang jelas selepas perang ini tamat,” kata bekas tentera yang kini menjual peralatan perubatan, Israel Alva ketika menyertai demonstrasi itu.
Seorang juruterbang syarikat penerbangan berusia 50 tahun, Shai Gill yang turut menyertai perhimpunan tersebut berkata, kerajaan Netanyahu sudah dilanda gelombang protes besar-besaran sebelum perang dan beliau tidak sepatutnya kekal berkuasa selepas serangan 7 Oktober lalu.
“Mereka tidak mendapat kepercayaan rakyat dan kita perlu mengadakan pilihan raya.
“Kepimpinan kini hanya didorong oleh motivasi untuk kekal berkuasa dan bukannya memikirkan tentang apa yang baik untuk kami. Mereka hanya berpaut pada kerusi mereka,” tegasnya.
Susulan tunjuk perasaan berkenaan, polis menahan 16 peserta kerana didakwa melakukan kekacauan awam, manakala meriam air juga digunakan untuk menghalau orang ramai ketika mereka menghalang laluan di lebuh raya.
Perhimpunan pada Sabtu itu dilaporkan hampir serupa dengan protes besar-besaran bagi menentang pembaharuan undang-undang oleh Netanyahu yang menimbulkan kontroversi beberapa bulan sebelum perang di Gaza tercetus.
Netanyahu menerima tamparan baharu minggu ini apabila siasatan mendapati beliau bertanggungjawab secara peribadi atas rempuhan pada 2021 di utara Israel yang membunuh 45 penganut Yahudi.
Namun, dalam jawapan balasnya, Parti Likud pimpinan Netanyahu seperti dijangka membidas siasatan itu sebagai sesuatu yang bermotifkan politik.
BIDEN KECAM
Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden menerusi satu temu bual kelmarin berkata, pendekatan Netanyahu terhadap perang di Gaza hanya lebih menyakitkan Israel berbanding membantu mereka.
Biden turut menyuarakan rasa kecewanya yang semakin ketara terhadap Netanyahu.
Namun, dengan krisis kemanusiaan Gaza yang semakin buruk dan ketegangan dalam sayap kiri Biden, Presiden AS itu dilihat membuat kenyataan bercanggah mengenai persoalan ‘garisan merah’ berhubung serangan terancang Israel ke atas Rafah di selatan Gaza.
“Netanyahu mempunyai hak untuk mempertahankan Israel, hak untuk terus mengejar Hamas. Tetapi beliau mesti memberi lebih perhatian kepada nyawa yang tidak bersalah yang turut terkorban akibat tindakannya.
“Pada pandangan saya dia lebih menyakiti Israel daripada membantu Israel,” katanya.
Ketika bercakap mengenai potensi pencerobohan Israel ke atas Rafah yang menjadi lokasi kira-kira 1.5 juta penduduk wilayah itu bersesak-sesak mencari perlindungan, Biden seakan tidak jelas dengan pendiriannya.
“Ia adalah garis merah. Saya tidak akan pernah meninggalkan Israel. Pertahanan Israel masih kritikal.
“Tetapi tiada garis merah di mana saya mahu memotong semua senjata supaya mereka tidak mempunyai ‘kubah besi’ atau sistem pertahanan udara untuk melindungi mereka,” katanya.
Menyedari kekeliruan yang tercetus, Biden kemudian segera membetulkan kenyataannya.
“Sebenarnya terdapat ‘garisan merah’. Anda tidak boleh menyebabkan 30,000 lagi rakyat Palestin mati,” tambahnya lagi.
Di sebalik perubahan nada Biden, pentadbirannya masih enggan mendengar gesaan aktivis untuk mengurangkan berbilion dolar bantuan ketenteraan yang dihantar AS kepada Israel.
Biden juga mengelak untuk menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan mengadakan lawatan baharu ke Israel dalam tempoh terdekat.-AFP










