Pemimpin dunia gesa siasatan segera tragedi konvoi bantuan

Pemimpin dunia gesa siasatan segera tragedi konvoi bantuan di Gaza

PENDUDUK Palestin meratapi kematian anggota keluarga mereka dalam tragedi konvoi bantuan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Pemimpin dunia menggesa siasatan segera dijalankan berhubung kejadian ratusan penduduk Palestin maut ditembak oleh tentera Israel ketika menyerbu ke arah trak bantuan di Gaza.

Malah, pemimpin berkenaan juga mendesak pelaksanaan gencatan senjata  serta-merta di wilayah itu yang dilanda konflik selama hampir lima bulan.

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock menerusi aplikasi X menggesa siasatan sepenuhnya terhadap kejadian tembakan besar-besaran boleh berlaku.

Rakan sejawatnya dari Perancis, Stephane Sejourne pula menegaskan siasatan bebas perlu dilakukan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Dalam pada itu, ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, segala usaha harus dilakukan ketika menyiasat kejadian itu bagi memastikan ketelusannya.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, insiden itu akan merumitkan lagi rundingan gencatan senjata, dengan White House menyifatkan kejadian tersebut sebagai amat membimbangkan.

Kementerian Luar Perancis pula menyifatkan tindakan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam ketika cuba mendapatkan makanan, adalah tidak wajar.

Jelas kementerian itu, Israel harus mematuhi undang-undang antarabangsa dan melindungi semasa misi penghantaran bantuan kepada orang awam.

Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan sehingga membunuh kira-kira 115 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 750 penduduk turut cedera dalam kejadian itu.

Kejadian itu berlaku selepas Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza, dengan ancaman kebuluran bakal terjadi di utara wilayah itu.  

Tentera Israel mendakwa ‘rempuhan’ berlaku apabila ribuan penduduk Gaza mengepung konvoi 38 trak bantuan, menyebabkan ratusan maut dan cedera termasuk beberapa mangsa digilis lori. 

Sumber Israel mengesahkan pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang bergegas ke arah trak bantuan di Gaza, dengan menganggap mereka menimbulkan ancaman kepada tentera.

Kementerian Kesihatan Gaza mengecam dan menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan beramai-ramai di kota Gaza.

Menurut jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, kakitangan agensi itu yang melawat mangsa cedera di Hospital al-Shifa menyatakan sebahagian besar penduduk berkenaan mengalami luka tembakan.    

Jelasnya, hospital itu menerima 70 mayat penduduk dan merawat lebih 700 mangsa cedera, yang mana kira-kira 200 lagi masih berada di kemudahan tersebut. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×