KANO: Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu menghantar pasukan tentera untuk menyelamatkan lebih 250 pelajar yang diculik oleh kumpulan individu bersenjata dari sebuah sekolah di barat laut negara itu.
Ia disifatkan sebagai salah satu kes penculikan terbesar di negara itu dalam tempoh tiga tahun.
Kejadian di negeri Kaduna itu merupakan penculikan besar-besaran yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Tinubu menerusi satu kenyataan mengarahkan pasukan tentera untuk mengesan kumpulan penculik itu.
“Saya sudah mendengar taklimat daripada ketua keselamatan mengenai insiden itu dan saya yakin mangsa akan diselamatkan.
“Insiden tidak diingini sememangnya tidak dapat diterima oleh saya dan keluarga mangsa,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, pegawai di Kaduna mengesahkan kejadian itu namun tidak mendedahkan jumlah mangsa kerana masih sedang meneliti berapa ramai pelajar yang telah diculik.
Seorang penduduk mendakwa sekurang-kurangnya seorang individu maut akibat ditembak semasa kejadian berkenaan.
Seorang guru dari sekolah GSS Kuriga di daerah Chikun, Sani Abdullah berkata, kakitangan sekolah berjaya membawa keluar ramai pelajar apabila lelaki bersenjata bertindak menyerang dengan melepaskan tembakan ke udara.
Jelasnya, seramai 187 pelajar dari sekolah rendah utama dan 100 pelajar dari kelas rendah diculik.
Tiga penduduk mendakwa kira-kira 200 hingga 280 kanak-kanak dan guru juga diculik.
“Awal pagi lagi, kami terdengar bunyi tembakan dilepaskan oleh lelaki bersenjata. Sebelum terlambat, kami sempat membawa mereka keluar,” kata penduduk bernama Musa Mohammad.
Insiden di Kaduna dan penculikan besar-besaran berlaku di kem perlindungan di negeri Borno seminggu lalu, jelas menunjukkan cabaran besar yang dihadapi oleh Tinubu.
Sebelum ini, Tibunu berikrar untuk menjadikan Nigeria lebih selamat dan membawa masuk lebih banyak pelaburan asing ke negara itu. – AFP










