NEW DELHI: Mahkamah India mengharamkan sekolah agama dan madrasah Uttar Pradesh, satu langkah yang boleh menjauhkan lagi umat Islam daripada kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi menjelang pilihan raya negara.
Keputusan oleh Mahkamah Tinggi Allahabad kelmarin membatalkan undang-undang 2004 yang mengawal madrasah di negeri paling ramai penduduk itu kerana melanggar sekularisme perlembagaan India dan mengarahkan pelajar dipindahkan ke sekolah konvensional.
“Kerajaan negeri juga akan memastikan bahawa kanak-kanak berumur antara 6 hingga 14 tahun tidak dibiarkan tanpa kemasukan ke institusi yang diiktiraf sewajarnya,” tulis Hakim Subhash Vidyarthi dan Vivek Chaudhary dalam perintah mereka,yang dibuat berdasarkan rayuan oleh peguam, Anshuman Singh Rathore.
Ketua Lembaga Pendidikan Madrasah di negeri itu, Iftikhar Ahmed Javed berkata, perintah tersebut menjejaskan 2.7 juta pelajar dan 10,000 guru di 25,000 madrasah di Uttar Pradesh di di mana satu per lima daripada 240 juta penduduknya beragama Islam.
Kerajaan Uttar Pradesh menghentikan program pembiayaan untuk madrasah sejak Januari lalu dan perintah tersebut terpakai kepada semua madrasah di negeri itu, sama ada dibiayai secara persendirian atau oleh kerajaan.
Mahkamah tidak memberikan tempoh masa terhadap perintah itu tetapi Iftikhar berkata, madrasah tidak mungkin ditutup serta-merta.
India bakal mengadakan Pilihan raya umum antara April dan Jun ini yang dijangka menyaksikan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menang besar.
Umat Islam dan kumpulan hak asasi manusia menuduh beberapa ahli BJP dan sekutunya mempromosikan ucapan kebencian dan kewaspadaan anti-Islam serta merobohkan hartanah milik mereka.
Jurucakap BJP Uttar Pradesh, Rakesh Tripathi berkata, pihaknya tidak menentang pendidikan di madrasah sebaliknya mengambil berat tentang pendidikan pelajar Islam.
“Kami tidak menentang mana-mana madrasah tetapi kami menentang amalan diskriminasi. Kami menentang pembiayaan haram dan kerajaan akan memutuskan tindakan selanjutnya selepas meneliti perintah mahkamah,” katanya.
Negeri timur laut Assam yang juga diperintah BJP sudah menukar ratusan madrasah menjadi sekolah konvensional.-REUTERS










