SEOUL: Korea Selatan memaklumkan sudah memulakan prosedur untuk menggantung lesen perubatan 4,900 doktor pelatih yang meletak jawatan dan tidak hadir bertugas kerana membantah pembaharuan tenaga kerja perubatan yang diperkenalkan kerajaan.
Kementerian Kesihatan memaklumkan pihaknya sudah menghantar notis pentadbiran kepada ribuan doktor pelatih yang mengingkari arahan untuk kembali bekerja.
Notis pentadbiran itu merupakan langkah pertama untuk menggantung lesen perubatan doktor berkenaan.
“Setakat 8 Mac lalu, notis sudah dihantar kepada lebih 4,900 doktor pelatih,” kata Pengarah bahagian dasar kesihatan dan perubatan di kementerian kesihatan, Chun Byung-wang.
Sebelum ini, kerajaan memberi amaran kepada doktor yang mogok bahawa mereka akan menghadapi penggantungan lesen selama tiga bulan.
Dalam pada itu, Byung-wang menggesa para doktor pelatih yang mogok untuk kembali bekerja.
“Kerajaan akan mengambil kira keadaan dan melindungi doktor pelatih sekiranya mereka kembali bekerja sebelum langkah pentadbiran selesai.
“Kerajaan tidak akan henti berdialog. Kami sentiasa menghormati dan mendengar pendapat komuniti doktor sebagai teman untuk pembaharuan perubatan,” katanya.
Isu pemberhentian dan peletakan jawatan doktor pelatih yang bermula sejak 20 Februari lalu, berpunca daripada rancangan kerajaan untuk meningkatkan bilangan doktor secara mendadak.
Kerajaan menyifatkan pembaharuan tenaga kerja perubatan amat penting untuk menanangi isu kekurangan doktor dan populasi Korea Selatan yang semakin tua.
Namun, doktor pelatih pula berpandangan rancangan itu akan menjejaskan kualiti perkhidmatan, dengan tidak melakukan sebarang usaha untuk menyelesaikan isu teras dalam penjagaan kesihatan.
Kira-kira 12,000 doktor muda tidak hadir bertugas di beberapa hospital walapun kerajaan sudah mengarahkan golongan itu kembali bekerja dan ancaman tindakan undang-undang.
Situasi itu memaksa Seoul mengerahkan doktor tentera dan membelanjakan jutaan dolar dalam rizab untuk menangani isu tersebut. – AFP










