BERLIN: Parlimen Jerman meluluskan rang undang-undang (RUU) penggunaan ganja bagi tujuan peribadi semasa sesi undian penting yang mencatatkan beberapa undang-undang paling liberal mengenai bahan itu di Eropah.
Penggubal undang-undang di Bundesrat meluluskan RUU yang dibahaskan sejak Jumaat lalu, yang menetapkan hanya 25 gram ganja boleh digunakan bagi tujuan peribadi, setiap hari.
Bagaimanapun, penggunaan bahan dadah itu perlu melalui persatuan penanaman ganja yang dikawal selia serta penanaman maksimum tiga pokok untuk kegunaan peribadi juga dibenarkan, berkuatkuasa 1 April depan.
RUU itu turut melarang penggunaan ganja bagi individu berusia 18 tahun ke bawah.
Menjelang sesi pengundian itu, Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach menyeru Ahli Parlimen untuk menyokong penuh RUU berkenaan dengan alasan negara sudah menyaksikan peningkatan mendadak bilangan orang muda memperoleh ganja di pasaran gelap.
Undang-undang kontroversi itu sering menjadi subjek perbalahan sengit dalam gabungan Parti Demokrat Sosial, Canselor Olaf Scholz, Greens dan Parti Demokratif Bebas Liberal (FDP).
Berdasarkan perjanjian, gabungan ketiga-tiga parti itu berhasrat untuk memperjuangkan ganja agar dapat dijual di kedai. Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh Kesatuan Eropah.
Tahun lalu, Kementerian Kesihatan Jerman menjangka rancangan membenarkan penggunaan ganja mampu menyelamatkan kos perbelanjaan agensi penguatkuasaan undang-undang negara, mahkamah, dan penjara lebih satu bilion euro (RM5.12 bilion) setahun.
Malta dan Luxemborg menghalalkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi pada 2021 dan 2023.
Belanda yang terkenal dengan undang-undang ganja sudah menghentikan penjualan dadah itu kepada pelancong sejak beberapa tahun lalu.-AGENSI










