TOKYO: Operasi pembebasan air sisa dari loji nuklear Fukushima Jepun yang terjejas digantung hari ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan gempa bumi yang melanda timur negara itu.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gegaran 5.8 magnitud melanda luar pantai wilayah timur laut Fukushima, lokasi loji yang musnah akibat tsunami pada 2011 tepat pukul 12.14 pagi tadi (waktu tempatan).
“Kami mengesahkan dari jauh bahawa tiada keabnormalan pada fasiliti pencairan dan pelepasan air yang dirawat ALPS.
“Tetapi untuk berada di pihak yang selamat, kami telah menggantung operasi kemudahan mengikut prosedur operasi yang ditetapkan,” kata Syarikat Kuasa Elektrik Tokyo (TEPCO) di laman X.
Pihak berkuasa kawal selia nuklear Jepun turut mengesahkan sejurus selepas gempa bumi bahawa tiada keabnormalan dikesan sama ada di loji Fukushima Daiichi yang rosak dan di loji Fukushima Daini.
TEPCO mula melepaskan air sisa menyamai 540 kolam renang Olimpik ke Laut Pasifik Ogos lalu yang dikumpulkan di Fukushima Daiichi sejak kemalangan 2011, salah satu bencana nuklear terburuk di dunia.
Operasi itu disahkan oleh agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan TEPCO berkata, semua unsur radioaktif sudah ditapis kecuali tritium yang tahapnya berada dalam had selamat.
Tetapi China dan Russia mengkritik pelepasan air sisa itu ke Lautan Pasifik dan mengharamkan import makanan laut Jepun, dengan mengatakan negara itu mencemarkan alam sekitar.
Jepun mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun dan sebahagian besarnya tidak menyebabkan kerosakan.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan akibat gempa bumi terbaharu dan tiada amaran tsunami dikeluarkan sejak pagi tadi.-AFP










