Israel guna kempen kebuluran sebagai senjata perang

Israel guna kempen kebuluran sebagai senjata perang

KANAK-kanak Palestin membawa periuk ketika berjalan ke arah tempat pengagihan makanan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan Israel menggunakan kempen kebuluran sebagai senjata perang dan sedang memusnahkan sistem makanan Gaza secara meluas dalam peperangannya menentang Hamas.

Pelapor Khas PBB Mengenai Hak Terhadap Makanan, Michael Fakhri mendedahkan perkara itu dalam ucapannya di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Beliau juga turut menyelar badan berkenaan yang didakwa tidak berusaha lebih keras untuk menangani isu terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Imej kebuluran di Gaza amat memeritkan dan anda tiada melakukan apa-apa.

“Israel sedang memusnahkan sistem makanan di Gaza. Israel  meningkatkan kempen kebuluran ke atas rakyat Palestin di Gaza dan tindakan rejim itu turut menyasarkan nelayan kecil,” katanya.

Sebelum ini, pegawai-pegawai misi bantuan  memberi amaran berhubung krisis kelaparan yang semakin meruncing di Gaza, dengan hospital-hospital di utara melaporkan peningkatan kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan.

Malah, sebilangan negara termasuk Mesir dan Iraq turut mengkritik Israel atas krisis berkenaan yang semakin memburuk di Semenanjung Gaza.

Fakhri yang juga profesor undang-undang Lubnan-Kanada, merupakan seorang daripada puluhan pakar bebas dalam bidang hak asasi manusia yang diberikan mandat oleh PBB untuk melapor dan memberikan nasihat berhubung krisis serta tema tertentu.

Dalam ucapannya kepada 47 ahli majlis di Geneva itu, beliau mendakwa Israel juga menyasarkan nelayan kecil dengan menghalang akses mereka ke laut selain memusnahkan bot dan pondok.

Katanya, kira-kira 80 peratus sektor perikanan Gaza musnah sejak 7 Oktober tahun lalu, malah tentera Israel didakwa menghancurkan setiap bot di pelabuhan utama di Gaza City.

Dalam ucapan penutupnya, Fakhri menggesa negara anggota supaya turut mempertimbangkan langkah sekatan, memutuskan hubungan diplomatik dan embargo senjata api.

Bagaimanapun penasihat undang-undang dalam misi Israel ke PBB, Yeela Cytrin menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai pembohongan sebelum beredar keluar sebagai tanda protes.

MISI BANTUAN UDARA

Sejak Selasa lalu, AS menjatuhkan 36,000 paket makanan ke utara Gaza menggunakan pesawat udara bersama Jordan. 

Lebih daripada 20 misi pelepasan bantuan dari udara dilakukan sejak beberapa minggu lalu dengan kerjasama Perancis, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Tetapi strategi itu mencetuskan kontroversi dengan organisasi kemanusiaan mengatakan ia tidak cukup untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Penghantaran melalui udara juga merupakan simbol kegagalan usaha bantuan di lapangan.

Awal minggu ini, Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, pihaknya cuba memasuki utara Gaza dan memulakan semula misi penghantaran bekalan makanan tetapi diarahkan berpatah balik oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

“Penghantaran bantuan melalui udara adalah mahal, tidak terkawal dan biasanya menyebabkan orang yang salah mendapat bantuan.

“Cara tersebut adalah tujuh kali lebih mahal berbanding bantuan yang dihantar ke darat disebabkan kos berkaitan pesawat, bahan api dan kakitangan.

“Di samping itu, hanya kuantiti yang agak kecil boleh dihantar dengan setiap penerbangan berbanding jumlah yang boleh dibawa masuk oleh konvoi lori, dan penyelarasan darat,” kata  Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland selepas pulang dari lawatan tiga hari ke Gaza.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini