RAFAH: Israel bertindak menyerang menara kediaman antara terbesar di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas kawasan yang menjadi tempat perlindungan terakhir lebih sejuta penduduk Palestin.
Bangunan setinggi 12 tingkat yang terletak kira-kira 500 meter dari sempadan Mesir dilaporkan rosak teruk dalam serangan itu.
Menurut penduduk, berpuluh-puluh keluarga kehilangan tempat tinggal walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tentera rejim Zionis mendakwa blok itu digunakan oleh Hamas untuk merancang serangan ke atas Israel.
Penduduk, Mohammad Al-Nabrees berkata, menara itu dihuni kira-kira 300 penduduk dan Israel memberi mereka amaran selama 30 minit untuk meninggalkan bangunan itu pada waktu tengah malam.
“Orang ramai terkejut, bertempiaran lari menuruni tangga hingga ada ibu hamil yang terjatuh dan keadaan menjadi sangat huru-hara.
“Kami tidak sempat membawa apapun, harta benda mahupun wang,” katanya.
Serangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai kekejaman lebih luas ke atas Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung.
Israel menegaskan merancang untuk menjalankan operasi di kawasan itu yang digelarnya sebagai benteng terakhir Hamas.
Tetapi ikrarnya untuk berbuat demikian hanya selepas orang awam berpindah tidak banyak membantu meredakan kebimbangan antarabangsa tentang akibat buruk yang bakal berlaku.
Rundingan ke arah gencatan senjata dan pembebasan 134 tebusan di Gaza juga semakin suram menjelang tarikh akhir yang diharapkan pada permulaan Ramadan.
Sumber Hamas berkata, delegasi kumpulan itu tidak akan membuat perjalanan lain ke Kaherah pada hujung minggu untuk meneruskan perbincangan.
Hamas menyalahkan Israel kerana tidak bersungguh mencapai kemajuan rundingan, yang setakat ini enggan memberikan jaminan atau komitmen untuk menamatkan perang atau menarik keluar tenteranya dari Semenanjung Gaza.
Lima bulan selepas serangan udara dan darat yang berterusan, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, hampir 31,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 72,500 yang lain cedera dengan beribu-ribu lagi tertimbus di bawah runtuhan.
Sebahagian besar bandar itu kini tinggal runtuhan dengan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dibelenggu penyakit serta kebuluran.
Dalam ucapan sempena Hari Syahid dan Veteran di Mesir semalam, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, kos membina semula Gaza dianggarkan melebihi AS$90 bilion (RM421.65 bilion).-REUTERS










