Ghana luluskan RUU anti LGBTQ

Ghana luluskan RUU anti LGBTQ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACCRA: Parlimen Ghana sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) antihomoseksualiti walaupun mendapat kecaman antarabangsa.

“Selepas tiga tahun yang panjang, kami akhirnya meluluskan Akta Hak Seksual Manusia dan Nilai Keluarga,” kata Ahli Parlimen Ningo Prampram yang juga penaja utama rang undang-undang tersebut, Sam George.

Rang undang-undang yang diperkenalkan di Parlimen pada 2021 itu bukan sahaja menjenayahkan hubungan dan gejala homoseksual iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender dan queer (LGBTQ) tetapi juga mereka yang menyokong hak golongan tersebut.

Hubungan seks pasangan gay sudah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun menerusi undang-undang di Ghana sebelum ini. 

Menerusi RUU baharu itu, hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan terhadap promosi, penajaan, atau sokongan aktiviti LGBTQ+ secara sengaja.

Gabungan pemimpin tradisional Kristian, Islam dan Ghana dilaporkan menaja undang-undang itu.

Menurut Perlembagaan Ghana, selepas undian di Parlimen, RUU itu akan dibentangkan kepada Presiden, Nana Akufo-Addo dan beliau mempunyai tujuh hari untuk bersetuju atau enggan bersetuju untuk menjadikannya sebagai -undang-undang di negara itu.

Negara-negara Afrika masih secara meluas menjenayahkan aktiviti sejenis, kebanyakannya kerana undang-undang era penjajah. 

Sementara itu, menurut CNN, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Volker Türk menyifatkan kelulusan oleh Parlimen terhadap rang undang-undang itu sangat mengganggu, malah menggesa kerajaan untuk tidak menandatanganinya.

“Rang undang-undang itu meluaskan skop sekatan jenayah terhadap golongan LGBTQ semata-mata kerana menjadi diri sendiri dan mengancam hukuman jenayah terhadap individu lain yang dianggap sekutu mereka,” katanya.

Pengarah Eksekutif Agensi Aids PBB (UNAIDS), Winnie Byanyima mendakwa rang undang-undang itu akan menjejaskan ramai orang dan menghalang perjuangan negara menentang jangkitan HIV dan Aids. 

“Untuk mencapai matlamat menamatkan Aids sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, adalah penting untuk memastikan setiap orang mempunyai akses yang sama kepada perkhidmatan penting tanpa rasa takut, stigma atau diskriminasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×