PARIS: Jenama fesyen Perancis, Coperni melancarkan beg tangan paling ringan di dunia iaitu Air Swipe yang hanya mempunyai berat 37 gram (g), baru-baru ini.
Beg yang dibuat daripada aerogel iaitu bahan pepejal paling ringan di dunia itu membuat penampilan sulung semasa pertunjukan Minggu Fesyen Perancis, lapor Oddity Central.
Jenama itu bekerjasama dengan penyelidik Yunani dan artis visual, Ioannis Michaloudis untuk mencipta beg tangan yang mengandungi bahan silika aerogel.
Silika aerogel adalah bahan pepejal paling ringan di dunia kerana ia terdiri daripada 99 peratus udara dan satu peratus kaca.
Ia dihasilkan dalam acuan keluli tahan karat melalui proses pengeringan khas, yang menggunakan suhu dan tekanan tertentu untuk mengubah cecair menjadi kaca.
Aerogel tidaklah serapuh yang disangkakan kerana boleh menahan tekanan 4,000 kali ganda berat dan panas sehingga 1,200 darjah Celsius.
Setiap tahun, Coperni mencipta semula begnya yang popular dengan cara unik, kreatif dan di luar kotak.
Tahun lalu, jenama itu mencipta beg tangan edisi terhad yang diukir tangan daripada meteorit yang pernah terhempas di Bumi, ribuan tahun lalu.
Pada 2019, artis di studio reka bentuk di London, Bompass & Parr menggunakan teknologi aerogel untuk mencipta pencuci mulut paling ringan di dunia, iaitu hanya mengandungi 96 peratus udara dan hanya seberat satu gram.










