NEW DELHI: Seorang pengguna laman Reddit berkongsi pengalaman lucu iaitu dihubungi bekas majikannya yang cuba meminta kata laluan komputer ribanya, enam bulan selepas dia dipecat.
Lapor NDTV, pengguna itu berkongsi tangkap layar emel diterima daripada bekas majikannya yang meminta dia berkongsi kata laluan komputer riba syarikat yang pernah digunakannya untuk melakukan tetapan semula supaya peranti itu boleh dipakai kakitangan baharu mereka.
Syarikat itu juga memberi jaminan maklumat yang diberikan akan dirahsiakan sepenuhnya dan hanya digunakan untuk menetapkan semula komputer riba tersebut.
”Ini membuatkan saya tertawa. Syarikat ini memanggil saya untuk temuduga bagi jawatan pengurusan. Saya akhirnya mendapat pekerjaan itu.
“Hanya selepas 30 hari mereka menamatkan perkhidmatan saya. Pada asasnya apa yang berlaku ialah saya membongkar semua amalan pemasaran haram yang berlaku dan menawarkan penyelesaian untuk membetulkannya.
“Tetapi mereka memutuskan menutup masalah itu dengan memecat saya. Sekarang mereka mahu kata laluan saya pula, sangat melucukan,” tulis pengguna itu di laman Reddit.
Ramai warga net turut berkongsi pengalaman serupa dan berpendapat syarikat itu mempunyai muslihat lain jika meminta kata laluan daripada bekas pekerjanya.
“Tidak masuk akal. Jika pasukan teknologi maklumat (IT) syarikat tersebut tidak dapat menetapkan semula komputer riba itu maka mereka semua harus diberhentikan kerana perkara itu sangat mudah dilakukan.
”Ini pelik. Senario kes terbaik, mereka berbohong dan mahu menyelongkar fail pada komputer anda kerana mungkin merasa terjejas. Jika anda memberikan bekas majikan kata laluan anda, mereka dengan mudah menggunakannya untuk masuk ke akaun anda,” jelas seorang warga net.









