AS, sekutu tembak jatuh 28 dron Houthi di Laut Merah

AS, sekutu tembak jatuh 28 dron Houthi di Laut Merah

TENTERA Laut Diraja HMS Richmond menembak jatuh dua dron yang dilancarkan Houthi di Laut Merah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Amerika Syarikat (AS) dengan bantuan sekutunya, Britain dan Perancis dilaporkan menembak jatuh 28 dron yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi di Laut Merah dan Teluk Aden.

Kejadian itu merupakan antara  serangan terbesar oleh Houthi di Yemen yang disokong Iran.

Menurut Pusat Perintah AS (CENTCOM), pihaknya dan pasukan gabungannya melihat  dron itu memberi ancaman kepada kapal dagang, kapal perang AS dan kapal pakatan di rantau berkenaan.

Kenyataan dari Komando Pusat AS berkata, tiada kenderaan tentera AS atau gabungan rosak dan tiada laporan kerosakan daripada kapal komersial.

Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), Grant Shapps berkata, kapal Tentera Laut Diraja HMS Richmond menembak jatuh dua dron yang dilancarkan oleh Houthi pada malam Jumaat lalu.

“UK dan sekutu kami akan terus mengambil tindakan yang perlu untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kebebasan pelayaran,” katanya.

Sebuah kapal perang dan jet pejuang Perancis turut menembak jatuh empat dron untuk menghentikan serangan menyasarkan misi tentera laut Eropah dan sebuah kapal kargo yang ditunda di Teluk Aden.

Kapal kargo berkenaan, True Confidence ditunda selepas terkena peluru berpandu pada Rabu lalu yang mengorbankan dua kelasi warga Filipina dan seorang warga Vietnam, kematian pertama sejak Houthi memulakan serangan mereka.

Susulan serangan itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree melalui laman X mendakwa kumpulan tersebut melancarkan dua serangan berasingan menyasarkan kapal dagang Propel Fortune di Teluk Aden dan beberapa kapal perang AS.

Menurut laman sesawang penjejak maritim, antara kapal yang diserang itu mengibarkan bendera Singapura tetapi tidak melaporkan kedudukannya dengan jelas.

Sementara itu, di Sanaa, penyokong setia Houthi mengambil bahagian dalam perarakan tentera dengan memijak bendera AS, Israel, dan Britain.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN