WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden memaklumkan Amerika Syarikat (AS) akan menghantar pakej bantuan ketenteraan baharu yang bernilai AS$300 juta (RM1.41 bilion) kepada Ukraine.
Ia dilihat sebagai langkah pertama seumpamanya dalam tempoh beberapa bulan ketika dana tambahan untuk Kyiv masih disekat oleh pemimpin Republik di Kongres.
White House berusaha sedaya upaya mencari jalan untuk menghantar lebih banyak bantuan ketenteraan selepas mengambil kira keadaan di medan perang dan bantahan terhadap pembiayaan daripada penyokong tegar Republikan.
Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, pembiayaan itu diperoleh menerusi hasil penjimatan kos yang tidak dijangka daripada kontrak Pentagon dan akan digunakan untuk peluru artileri dan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS).
“Amunisi ini akan membolehkan tentera Ukraine melancarkan serangan untuk tempoh tertentu, tetapi tempoh yang singkat sahaja.
“Ia mungkin membantu Ukraine selama beberapa minggu sahaja.
“Sudah tentu, ia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan medan perang Ukraine dan tidak akan mengakibatkan Ukraine kehabisan amunisi,” katanya.
Setiausaha Akhbar Pentagon, Jeneral Pat Ryder berkata, pakej bantuan ketenteraan itu termasuk peluru berpandu anti-pesawat dan peluru artileri.
Beliau memaklumkan penghantaran senjata ke Ukraine menerusi penjimatan kontrak Pentagon berkemungkinan menjadi situasi sekali lagi dan bukan cara yang mampan untuk membiayai Kyiv.
Pegawai AS juga meneroka pilihan lain seperti merampas aset tidak bergerak Russia pada 2022 yang bernilai AS$285 bilion (RM1.33 trilion) dan menggunakan wang tersebut untuk membayar senjata bagi Ukraine.
Pengumuman itu dibuat ketika Presiden dan Perdana Menteri Poland mengadakan pertemuan dengan Biden di White House.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berbincang cara untuk meningkatkan sokongan untuk Ukraine. – REUTERS










