GAZA CITY: Sekurang-kurangnya tiga lagi kanak-kanak Palestin dilaporkan meninggal dunia di Gaza akibat malnutrisi dan dehidrasi.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra.
Lapor Agensi Anadolu, Ashraf berkata, kanak-kanak berkenaan meninggal dunia di Hospital Al-Shifa.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan kepada 23 orang sejak 7 Oktober tahun lalu.
Berdasarkan kenyataan kementerian sebelum ini, kebanyakan kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital terletak utara Gaza yang kini dikepung tentera Zionis, di tengah-tengah amaran dunia bahawa penduduk Palestin berada di ambang kebuluran.
Bulan lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa peningkatan kes malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak di Gaza menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan mereka.
Setakat ini, serangan berterusan Israel menyebabkan lebih 30,800 orang terbunuh dan hampir 73,000 lagi cedera.
Serangan Israel juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.











