JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 10 lagi hilang dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera, Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pemangku Ketua Agensi Mitigasi Bencana Pesisir Pantai Selatan, Doni Yusrizal menerusi kenyataan.
Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat melanda daerah Pesisir Selatan di wilayah Sumatera Barat sehingga mengakibatkan kira-kira 46,000 penduduk terpaksa berpindah ke tempat perlindungan sementara.
“Seramai 10 orang maut yang mana dua mangsa ditemukan di kampung Langgai, daerah Sutera; tujuh mayat dikenal pasti di mukim Koto XI Tarusan dan seorang lagi mayat mangsa dijumpai di mukim Lengayang,” jelas kenyataan itu.
Tambah Doni, cuaca buruk juga menyukarkan lagi usaha mencari 10 mangsa yang masih hilang.
“Setakat pagi ini, masih hujan lagi dan beberapa laluan terputus sehingga sukar untuk melaluinya,” katanya sambil menambah pasukan penyelamat menggunakan bot untuk sampai kepada mangsa.
Berdasarkan kenyataan itu, sekurang-kurangnya 14 kediaman tertimbus dalam tanah runtuh, selain lebih 20,000 rumah dinaiki air dan lapan jambatan runtuh. – AFP










