GAZA CITY: Kakitangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dinafikan akses untuk memasuki Hospital Nasser di Khan Younis sejak 29 Januari lalu ekoran tentera Israel menempatkan kemudahan itu di bawah pengepungannya.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap WHO, Tarik Jasarevic dalam satu temu bual bersama Al Jazeera.
Menurut Tarik, pihaknya sudah mencuba beberapa kali untuk mengunjungi hospital tersebut namun permintaan mereka ditolak.
“Kami mendapat laporan kira-kira 400 pesakit masih berada di sana, serta sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan sebuah gudang dimusnahkan,” katanya.
Israel mengarahkan penduduk yang berlindung di hospital itu untuk berpindah segera.
Namun, saksi mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan sehingga beberapa orang terbunuh, sekaligus menjadikannya amat berbahaya untuk mematuhi perintah pemindahan.
“Setiap kali semasa bergerak, kami perlu mendapatkan kebenaran untuk memastikan sampai dengan selamat ke tempat yang ingin kami tuju.
“Misalnya, hanya 40 peratus daripada permintaan kami untuk ke utara dipermudahkan oleh pihak berkuasa Israel.
“Meskipun diberi kebenaran untuk pergi, pusat pemeriksaan sering melambatkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan mengenai arahan Israel untuk mengosongkan hospital utama di bandar Khan Younis itu.
Katanya, hospital itu digunakan sebagai tempat perlindungan oleh penduduk Palestin.
Sementara itu, Reuters melaporkan Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk menangguhkan pelan serangan darat di kawasan perlindungan terakhir penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza.
Ia berlaku selepas rundingan antara Amerika Syarikat (AS), Mesir, Israel dan Qatar mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza berakhir tanpa kejayaan.
Meskipun pegawai menyifatkan rundingan diadakan kelmarin adalah konstruktif dan akan diteruskan lagi, namun kegagalan untuk mencapai tindakan segera mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ratusan ribu penduduk yang bersesak di Rafah bahawa Israel akan menyerbu bandar itu tidak lama lagi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Hamas masih belum mengemukakan sebarang tawaran baharu untuk perjanjian pembebasan tebusan pada rundingan di Kaherah.
Justeru, katanya, Israel tidak akan bersetuju dengan tuntutan semasa kumpulan pejuang itu.
Ketegangan juga semakin meningkat di sepanjang sempadan utara Israel dengan Lubnan.
Tentera Israel menegaskan mahu menghapuskan pejuang Hamas yang didakwa bersembunyi di Rafah dan membebaskan tebusan ditahan di bandar tersebut.
Bagaimanapun, Israel tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pelan evakuasi yang dicadangkan untuk memindahkan orang awam.










