BAITULMUQADDIS: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) menegaskan sudah tidak menjalankan sebarang operasi di ibu pejabatnya di Gaza City sejak 12 Oktober lalu.
Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan rejim Zionis kononnya menemui terowong Hamas di bawah pejabat UNRWA kelmarin.
UNRWA juga menggesa siasatan bebas ke atas dakwaan terbaharu itu walaupun ketika ini tidak dapat dilakukan kerana Gaza adalah zon peperangan aktif, selain menegaskan pihak berkuasa Israel tidak memberi makluman rasmi berhubung penemuan terowong itu.
Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, kakitangannya dipaksa meninggalkan kompleks di Gaza City susulan arahan rejim Zionis ketika serangan semakin meningkat di kawasan terbabit dan tidak pernah kembali ke sana.
Jelasnya, sebarang aktiviti mencurigakan yang ditemui di bawah atau berhampiran mana-mana premis UNRWA sebelum ini sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa di Gaza yang dikawal Hamas dan pihak Israel, selain ia turut diumumkan kepada orang ramai.
“Kompleks berkenaan tidak digunakan sejak kami diarah keluar dan kami tidak mengetahui sebarang aktiviti yang mungkin berlaku di situ.
“Kompleks itu kali terakhir diperiksa pada September 2023.
“Pihak berkuasa Israel belum memaklumkan UNRWA secara rasmi mengenai dakwaan terowong itu. Sebaliknya kami mengetahui mengenainya daripada laporan media,” katanya.
UNRWA kini sedang disiasat susulan tuduhan berasingan Israel yang mendakwa agensi itu terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu hingga menyebabkan lima kakitangannya dipecat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memulakan dua siasatan berasingan terhadap UNRWA berkaitan dakwaan itu termasuk kebebasan politik keseluruhan badan tersebut.
Hamas sebelum ini, menafikan dakwaan menggali rangkaian terowong luas di bawah sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain sebagai perlindungan untuk aktiviti mereka seperti dinyatakan Israel.
Kelmarin, tentera dan agensi keselamatan Shin Bet dalam kenyataan bersama menggesa Lazzarini meletak jawatan selepas mendakwa menemukan terowong berhampiran sekolah kendalian UNRWA susulan operasi di Gaza City sejak beberapa minggu lalu.
Kenyataan itu berkata, laluan terbabit menghubungkan terowong bawah tanah yang berfungsi sebagai aset penting bagi risikan ketenteraan Hamas.
Katanya, infrastruktur elektrik dalam terowong sejauh 700 meter itu bersambung dengan ibu pejabat UNRWA.
Israel turut mendakwa premis berkenaan menyalurkan elektrik kepada laluan terbabit, selain memaklumkan dokumen dan simpanan senjata dalam kompleks itu mengesahkan pejabat terbabit sebenarnya juga digunakan pengganas Hamas. – AFP











