PYONGYANG: Presiden Russia, Vladimir Putin menghadiahkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebuah kereta mewah buatan republik itu.
Lapor BBC, media kerajaan Pyongyang melaporkan limosin itu sudah dihantar kepada pembantu Jong-un pada Ahad lalu.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kemudian mengesahkan pemberian hadiah tersebut, dengan mendedahkan model kereta mewah itu adalah Aurus.
Aurus merupakan model kereta sedan mewah bersaiz penuh, jenis yang digunakan oleh Putin sendiri.
Kedua-dua negara itu menjalinkan hubungan rapat sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Korea Utara didakwa membekalkan Russia dengan meriam, roket dan peluru berpandu balistik untuk digunakan dalam peperangan, walaupun terdapat sekatan antarabangsa terhadap kedua-dua negara.
Bagaimanapun, Russia dan Korea Utara menafikan melanggar sebarang sekatan.
September tahun lalu, Putin mengalu-alukan kedatangan Jong-un ke Kosmodrom Vostochny di Timur Jauh Russia, yang merupakan lawatan rasmi pertama pemimpin itu ke luar negara dalam tempoh empat tahun.
Semasa lawatan itu, Jong-un dikatakan melihat limosin Aurus Senat milik Putin sendiri dan dijemput untuk duduk di dalam kereta itu.
Malah, pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar senjata sebagai hadiah.
Dilaporkan, Jong-un merupakan peminat kereta dan memiliki sejumlah koleksi kenderaan mewah dari luar negara.
Sementara itu, agensi KCNA melaporkan adik perempuan Jong-un iaitu Yo Jong menyifatkan pemberian hadiah itu menunjukkan secara jelas hubungan istimewa antara kedua-dua pemimpin tertinggi berkenaan.
Namun, Kementerian Luar Korea Selatan menegaskan hadiah kereta itu melanggar sekatan dikenakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap Korea Utara.
Sekatan itu melarang pembekalan kategori kenderaan tertentu termasuk kereta mewah.
Russia dan Korea Utara memaklumkan Putin akan melakukan lawatan balas ke Pyongyang dalam masa terdekat.










